Friday, April 6, 2012

Tangisilah Nasibmu Sekarang

Akan tiba waktunya, "golongan yang sedikit" akan mendapat kemenangan mengalahkan "golongan yang banyak" sebagaimana disebutkan dalam sejarah iaitu Perang Badar. 313 pejuang telah menewaskan 1000 orang musuh.


inilah lokasi bersejarah itu "BADAR"

Semakin hampir tiba masanya manusia yang sedikit itu akan muncul bersama dengan pegangan kalimat murni Tauhid "La Ilaha Illallah Muhammadar Rasulullah". Mereka tidak ramai bilangannya. Tetapi mereka tidak akan terkalahkan. 

Tidak dapat dielakkan, setiap manusia hari ini akan menghadapi saat getir dan kepayahan akibat mengikut telunjuk Yahudi dan Nasrani. Hanya segelintir yang menolaknya. Mereka sedia mati dari menjadi sahabat musuh Islam ini. Apa lagi mengangkat mereka sebagai ketua.

Maka adalah lebih baik bagi yang sedar terhadap kerja jahat Yahudi dan Nasrani segera bertaubat dan menangisi kesalahan lalu. Semoga diangkat sebagai ahli "kumpulan yang sedikit". Jangan harapkan keuntungan dunia yang sedikit tetapi menempa tempat di neraka Allah. Jika anda bersedia menyertai Yahudi dan Nasrani, tiada tempat untuk anda dalam kumpulan mereka yang "sedikit" ini.

Ingatlah ayat ini berkali-kali:
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil Yahudi dan Nasrani (kafir) sebagai sekutu (yang memimpin) kamu. Mereka (Yahudi dan Nasrani sebenarnya) adalah sekutu sesama mereka. Dan barangsiapa di kalangan kamu (yang beriman) menjadi sekutu bagi mereka, sesunggunya dia adalah sebahagian daripada mereka (Yahudi dan Nasrani). Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang zalim,” (Quran, al-Maidah: 51)
Satu pedoman mudah, disertakan sebuah hadis qudsi yang amat popular kepada pengkaji peristiwa akhir zaman. Semoga anda ikut serta menangisi nasib diri dan anak cucu sendiri setelah mengamati hadis ini. Inilah tanda hati disimbahi "iman kental" setaraf 313 orang Pejuang Badar.

Allah berfirman dalam hadis qudsi sebagai berikut:
"Allah berfirman pada hari kiamat: "Hai Adam! Bangkitlah, siapkanlah sembilan ratus sembilan puluh sembilan keturunanmu (untuk ditempatkan) dalam neraka dan satu (akan ditempatkan dalam syurga)." (Ketika Rasulullah menerimanya kemudian menyampaikannya kepada para sahabat), baginda menangis tersedu-sedu, demikian para sahabat lainnya turut menangis lalu baginda bersabda: "Angkatlah kepalamu, Demi Allah Yang Menguasai jiwaku. Dibandingkan dengan umat-umat Nabi lain, umatKu hanyalah bagaikan selembar bulu putih (yang terdapat) pada kulit lembu jantan yang berbulu hitam."
(Hadis qudsi riwayat Tabrani didalam kitab al-Kabir dari Abu Darda' r.a.)

Kelak pada hari kiamat, Allah memanggil Nabi Adam untuk memberitahu sesuatu kepadanya. Segeralah menyambut panggilan itu dan bersiap-siap untuk mentaatinya. Allah memerintahkan kepada baginda untuk mengumpulkan anak cucu keturunannya untuk dipilih. Dari setiap 1000 orang, 999 orang dimasukkan ke dalam neraka dan seorang dimasukkan ke syurga. (semoga kita termasuk kepada golongan yang sedikit ini. Amin).

Ramainya orang yang masuk neraka dan sedikit daripadanya yang masuk ke syurga menurut hadis di atas, dapat kita ramalkan dari sekarang dimana ramai antara manusia tertipu dengan kesenangan dunia yang sekejap cuma kerana menurut hawa nafsu dan hidup melanggar ketetapan agama Allah ini. Ramai pula yang sama ada sedar atau tidak, keluar dari garisan yang dibenarkan. Mereka inilah yang dimaksudkan dan termasuk dalam golongan 99.9% itu.

Di antara mereka yang dimasukkan ke dalam neraka ada yang kekal didalamnya, kerana keingkaran dan kekufurannya. Ada pula di antaranya yang tinggal untuk sementara waktu yang agak lama, sesuai dengan penyelewengan yang telah dilakukannya. Ada pula golongan yang dihukum untuk tinggal di neraka dalam waktu yang pendek sahaja kerana kederhakaan dan kesalahan yang pernah dilakukannya. Setelah habis masa hukumannya, kedua golongan terakhir ini dimasukkan ke dalam syurga.

Allah memerintahkan Nabi Adam untuk mengambil keturunannya yang sedikit itu (0.1%) untuk dibawa dan dimasukkan ke dalam syurga kerana mereka inilah yang benar-benar beriman dan mendapat hidayat, berpendirian tetap, tidak menyeleweng, tegas tidak ragu-ragu dan berjalan betul-betul meniti di atas Sirathal Mustaqim, tidak tegelincir dan tidak melampaui batas.

Kalau kita meneliti lembaran al-Quran, banyak kita dapati perkataan: "Ramai yang sesat……ramai yang fasik" antaranya ialah seperti maksud ayat-ayat al-Quran di bawah:
"…..dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya." (surah Al-Maaidah-66)
 "…..sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi." (Surah Al-Maaidah-32) 
"Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!" (Surah Yunus-92) 
"Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya." (Surah Ar-Ruum-8) 
"Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah;" (surah Al-An'aam-116)

Ketika Nabi saw. mendengar sedikitnya orang-orang yang masuk syurga, baginda merasa sedih, lalu menangis. Para sahabat merasa khuatir dan takut kalau-kalau termasuk golongan yang masuk neraka, sehingga mereka pun turut menangis juga.

Menyaksikan betapa sedihnya para sahabat menangis, Nabi saw berkeinginan untuk menghibur mereka dan menyampaikan khabar gembira yang telah dikurniakan dan disampaikan Allah kepada umat baginda. Baginda menyampaikan berita yang menegaskan bahawa ramai di antara umat Muhammad yang mendapat taufik dan hidayat Allah serta berjalan di atas landasanNya.

Sehelai bulu berwarna putih pada kulit lembu hitam itu memang sedikit. Umat Nabi Muhammad saw. itu memang sedikit jika dibandingkan dengan umat-umat yang sesat dan menyeleweng. Selain jumlahnya yang sedikit, umat Nabi Muhammad saw. adalah sebaik-baik umat menurut al-Quran. Sewajibnyalah kita sebagi umat yang baik, berusaha sekuat tenaga untuk sentiasa dapat mempertahankan kedudukan yang mulia ini.

Hadis qudsi di atas diriwayatkan pula oleh Bukhari dalam sahihnya lebih panjang dan luas dari Abu Sa'id al-Khudri r.a. Rasulullah saw. bersabda:

"Allah berfirman pada hari kiamat: "Wahai Adam!" Adam menyahutnya: "Kami sambut panggilanMu wahai Tuhan kami dan demi kebahagiaan yang Engkau curahkan kepada kami." Lalu baginda dipanggil lagi dengan satu panggilan: "Sesungguhnya Allah memerintahkan kepadamu untuk memisahkan rombongan keturunanmu untuk untuk dihantar ke dalam neraka." Adam bertanya: "Apakah yang dimaksudkan dengan rombongan ke neraka itu?" Allah menjelaskan: "Ambil dari tiap-tiap seribu, 999 orang." Ketika dilaksanakan perintah itu (terjadilah berbagai peristiwa) seperti orang yang sedang hamil, gugur kandungannya, anak-anak kecil serta merta beruban dan kelihatan orang-orang seakan-akan mabuk tapi sebenarnya mereka tidak mabuk, (hanyalah) gambaran seksaan Allah yang sangat dahsyat (ketika itu). Orang-orang (yang hadir mendengar pada waktu itu) merasa ngeri sehingga berubah pucat warna muka mereka. Lalu Nabi saw. menerangkan: "Diambil dari Yakjuj dan Makjuj 999 dan dari kamu 1. kalau kamu dibandingkan dengan orang yang sangat ramai itu, ibarat sehelai bulu berwarna hitam yang terdapat pada seekor lembu jantan yang berwarna putih. Sesungguhnya aku mengharapkan agar kamu menempati satu perempat penghuni syurga." Lalu kami semuanya bertakbir tanda gembira. Kemudian baginda menyambung lagi: "Menempati satu pertiga penghuni syurga." Lalu kami bertakbir lagi tanda gembira. Kemudian baginda menyambung lagi: "Menempati separuh penghuni syurga." Maka kami pun bertakbir lagi."(Hadis riwayat al-Bukhari)

Demikian bunyi hadis itu, semoga kita termasuk golongan yang separuh itu. Amin.

Gambaran seksaan Allah pada hari kiamat seperti yang disebut dalam hadis di atas, seolah-olah sebagai isyarat kepada dua ayat yang disebutkan Allah Surah Al-Haj, seperti berikut:
"Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungkannya; dan engkau akan melihat manusia mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amat berat mengerikan." (Surah Al-Haj-1,2)

Kepada anda yang masih tegar menolak peringatan ini, ingin dipertanyakan: mampukah anda menghadapi azab yang tak terperi siksanya dari Allah? Sanggupkah anda menempuh semua ini hanya atas keinginan bersubahat dengan Yahudi dan Nasrani yang selamanya tidak akan pernah redha dengan Islam?

Jika Rasulullah SAW sanggup menangis, dan para sahabat juga ikut menangis mengenang nasib kita di hari ini, kenapa kita tidak mahu ikut menangisinya? Ia berpunca dari sifat sombong dan bongkak. Sifat tercela dan sentiasa menerima murka Allah sawt.

Bersabarlah atas kesusahan dan bertawakkal kepada Allah sentiasa.


0 comments:

Post a Comment

Sila beri pandangan anda, elakkan dari kata nista atau kata-kata di luar peradaban. Pandangan Tulus dari anda amat dihargai, terima kasih.

 
Copyright 2009 abatasa ii. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan