Monday, March 15, 2010

Tuesday, October 13, 2009  http://ummuafeera.blogspot.com/2009_10_01_archive.html


Kahfi...


Kadangkala air mata turun mencurah saat membaca Quran. Terasa ingin menjerit meluahkan rasa pada Allah akan kelemahan sendiri dalam menjaga iman. Saya tidak merasa kesukaran menjaga diri semasa di alam pre-clinical tapi cubaan dan dugaan di alam clinical begitu membunuh hati.

Hari ini ikhtilat mampu dijaga. Esok terbocor sedikir dan kemudian sedikit lagi. Nauzubillah benda ini berlaku. Pernah seorang lelaki berbicara pada kawan sendiri tentang cara-cara untuk menjadikan mereka yang kebal dalam menjaga iman akhirnya tidak imun lagi dengan iman. Nauzubillah.

Seorang sahabat menangis kerana diganggu oleh kawan lelaki. Lelaki tersebut merayu setiap kali berjumpa dengan sahabat saya ini. Tapi kata-kata lelaki tersebut di belakang sahabat saya ini begitu membunuh diri saya sendiri. Katanya, sahabat saya ini juga bukan kebal orangnya.

Wallahi seorang wanita tidak mampu menepis gangguan seorang lelaki. Wanita adalah makhluk Allah yang lemah. Andai kamu mengetahui kelemahan ini dan tetap mahu menghancurkan mereka, tunggulah azab Allah.

Semasa di alam clinical, kami perlu memeriksa pesakit lelaki. Ada kawan-kawan lelaki yang tidak memahami dan merasakan boleh sahaja mereka memegang kawan perempuan mereka kerana hujah bahawa kami memegang pesakit lelaki.

Jujur saya katakan belajar di dalam perubatan merupakan cubaan yang besar. Adakalanya kita gagal kerana iman kita yang sedikit di dalam hati perlu berdepan dengan tsunami cabaran yang besar. Saya tidak sepatutnya menulis semua ini di sini. Tapi adakalanya diri saya kian sakit andai tidak menterjemahkan rasa yang mencengkam ini ke dalam tulisan. Tidak sesekali saya merungkaikan semua ini untuk menakutkan adik-adik yang berminat untuk belajar di dalam bidang perubatan. Jujur tarbiah Allah itu mampu dirasai secara langsung semasa belajar perubatan,

Lantas dalam dugaan dan cabaran yang begitu besar ini, alQuran datang untuk memberi kekuatan. Saya sukakan Surah alKahfi dalam memujuk rasa hati.

Allah menyebut spesifik di dalam ayat ke-10 bahawa pemuda-pemuda ini adalah ‘fityah’ ataupun remaja. Mereka ini sanggup melarikan diri ke dalam gua semata-mata untuk menjaga iman.

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami". (Surah Kahfi:10)

Dalam ayat yang ke-13, Allah menekankan bahawa Dia menceritakan kisah ini dengan haq, dengan sebenar-benarnya. Dan Allah sebut bahawa mereka ini ‘fityatun amanu birabbihim’, mereka adalah remaja yang beriman kepada Allah dan kerana iman mereka, Allah menambahkan petunjuk ke atas mereka. Dalam ayat seterusnya, Allah beritahu bahawa Dia meneguhkan hati mereka.

Kami ceritakan kepadamu perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." (Surah Kahfi:13-14)

Masya Allah. Jujur kisah ini begitu menyentuh hati kerana kita adalah remaja yang terlalu ingin menjaga iman di zaman yang begitu fasad ini. Dan kita faham betapa untuk memegang Islam di akhir zaman seperti memegang bara api yang begitu panas.

Daripada Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api”. (Riwayat Tirmizi)

Terasa keperitan yang tiada taranya dalam mempertahankan iman. Setiap saat Fatihah menjentik hati kita di dalam solat kita. Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in. Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Allah kaitkan ibadah dan perkara ketaatan dengan pertolonganNya. Kenapa? Kita tidak akan mempu untuk melakukan ketaatan kepada Allah tanpa pertolonganNya.

Saya merasa taajub dengan dialog pemuda-pemuda ini yang dirakamkan di dalam AlQuran. Setelah lebih 300 tahun tertidur, perkara pertama yang dibincangkan adalah iman. Allahu Akbar! Mereka berbicara pada sahabat mereka agar merahsiakan identiti mereka kerana bimbang iman mereka akan terjejas dan mereka selamanya tidak akan beruntung.

Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "Berapa lama kamu tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu. "Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya". (Surah kahfi:19-20)

Sudah berpuluh ribu hari kita tidur, berapa kali pula persoalan iman yang kita ingati saat tersedar? Berapa kali kita mengambil sesuatu langkah dengan mengingati iman terlebih dahulu?

Moga Allah kurnikan kekuatan untuk kita menjadi seperti pemuda-pemuda Kahfi. Berdoalah dengan doa pemuda-pemuda ini.

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami". (Surah Kahfi:10)

Ameen ya Rabbal ‘alamin.
petikan dari: http://ummuafeera.blogspot.com/2009_10_01_archive.html

0 comments:

Post a Comment

Sila beri pandangan anda, elakkan dari kata nista atau kata-kata di luar peradaban. Pandangan Tulus dari anda amat dihargai, terima kasih.

 
Copyright 2009 abatasa ii. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan