Sama sahaja, tidak kira siapa bila sudah melangkah ke lapangan politik demokrasi iblis ini pasti melakukan kesilapan. Tak usahlah menempelak dan menuding jari atas kesalahan orang lain seolah kita bebas dari lakukan kesalahan. Apa yang berlaku sekarang ini amat mendukacitakan terutama bagi orang Islam. Orang islam dituntut berakhlak mulia dan mempunyai pekerti yang tinggi. Mampukah kita lakukannya sekiranya kita menjadi ahli politik?
Sudah menjadi kebiasaan orang politik akan mencerca dan mengeji musuhnya, bercakap bohong dan dusta, menipu daya dan berbagai lagi unjuran kearah itu. Ulama dan pemimpin berwatak warak juga tidak terkecuali.
Di sinilah terserlah keburukan politik demokrasi acuan barat ini. Ulama juga ikut terpedaya apatah lagi orang bebanyakan. Perkara yang sering kita dengar serangan ahli politik bukan kerajaan terhadap penguasa negara ialah rasuah dan nepotisma dan salah guna kuasa (sama juga dengan rasuah sebenarnya). Sang penyerang tersebut juga tidak semestinya bersih sepenuhnya dan belum pasti dapat mengelak diri dari melakukan amalan tersebut bila dia mempunyai kuasa nanti.
Rakyat biasa yang naif sering menjadi mangsa tipuan dan dipaksa mempercayai hujahannya sekaligus mengangkat nilai kebaikan dirinya. Dia memperaga sikap seorang yang jujur serta beramanah. Sejauh mana dia benar masih tidak pasti kerana ia belum teruji lagi. Namun terdapat satu cacatan sejarah politik tanah air yang membuktikan bahawa sesiapa sahaja berada dalam kuasa demokrasi kapitalis ini pasti melakukan hal yang sama.
Satu contoh yang baik untuk kita lihat bagaimana politik mampu menukar watak sesaorang.
Anwar menuduh Mahathir mengamalkan nepotisme, memperkayakan anak beranaknya dan kaum keluarganya terutama sekali keluarga sebelah isterinya. Malah ada anak-anak Mahathir yang menggunakan alamat Sri Perdana dalam prospektus syarikat masing-masing. Betul. Tapi apakah Anwar tidak mengamalkan nepotisme?
Dia sering berkata dia tidak membenarkan mana-mana pihak, termasuk kerajaan negeri, memberi apa saja projek atau tanah balak dan sebagainya kepada kaum keluarganya. Kononnya dia ingin membuktikan kepada rakyat dia tidak mengamalkan nepotisme. Betul ke?
Ayahnya, Datuk Ibrahim A Rahman, menjadi Pengerusi IOI. Sebelum Anwar menjadi Menteri, sewaktu menjadi mudir Yayasan Anda, nama ayahnya sebagai tokoh korporat tidak timbul. Bila Anwar menjadi menteri, terutama sekali sebagai Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri tuah Pak Ibrahim melonjak naik. Kini IOI mempunyai hartatanah yang banyak di berbagai-bagai negeri. Malah di Sabah saja dikatakan hartatanah IOI melebihi 50,000 hektar.
Sewaktu Anwar menikah lari dengan Wan Azizah di Siam, Datuk Wan Ismail hanya seorang pengarah di bidang perang urat saraf di Jabatan Perdana Menteri. Waktu menikah dengan anaknya Anwar bukan seorang menteri. Cuma mudir Yayasan Anda. Pada waktu itu dia dikatakan tidak merestui perkahwinan anaknya yang menikah dengan pejuang Islam nombor wahid.
Anwar dianggap sebagai musuhnya kerana dianggap sebagai anti kerajaan dan peranan Wan Ismail ialah melumpuhkan golongan-golongan pelajar di kampus yang anti kerajaan.
Tiba-tiba anak gadis sendiri sudah muhabbatkihe dengan pejuang Islam. Ada semacam filem Hindustan sedikit tema percintaan dan ketegangan antara menantu dengan bapak mertua. Dengan bantuan Dollah Badawi kedua pihak, menantu dengan bapak mertua, kembali berdamai. Bila menantu jadi menteri, tambah-tambah lagi sebagai Menteri Kewangan merangkap Timbalan Perdana Menteri luka lama hilang serta-merta.
Kini Datuk Wan Ismail dikatakan juga kaya-raya berkat tuah menantu yang pernah dia musuhi di masa lalu. Barangkali dia menjadi kaya raya tanpa minta projek dari menantunya. Cukuplah sebagai bapak mertua pintu rezeki dan peluang terbuka luas. Tidak perlu lagi mencari lampu Aladdin yang ajaib yang ada kuasa jin afrit untuk membantu mereka.
Begitu juga dengan abang-abang dan adik-adik Anwar. Semua menjadi kaya raya walaupun kelayakan akademik tidak seberapa dan pengetahuan perniagaan yang mendalam tidak pernah dimiliki sebelum Anwar menjadi menteri. Boleh jadi juga mereka ini menjadi cerdas dan bijak berniaga hingga menjadi kaya raya setelah Anwar menjadi menteri. Barangkali inilah kelebihan mereka yang tidak dimiliki oleh rakyat marhaen yang lain. Apakah tangkal azimat yang dipakai mereka?
Sudah pasti mereka tidak menggunakan khidmat nasihat hantu raya, polong atau pun raja toyol. Yang nyata mereka menjadi kaya raya setelah Anwar menjadi menteri. Sebelum itu adik beradiknya ada yang menjadi guru, kerani kapal, pembantu makmal, photographer tapi kini boleh dikatakan semua mereka kaya raya walaupun kononnya Anwar tidak membantu mereka. Hebat, hebat sungguh keluarga Pak Berahim dan Wan Ismail ini!
Kalau dibandingkan kelayakan akademik anak-anak Mahathir mempunyai kelulusan akademik dan profesional yang tinggi. Semua memiliki ijazah antaranya dalam bidang finance dan mendapat pendedahan yang cukup baik dalam dunia korporat. Kalau mereka mengendalikan beberapa syarikat korporat yang besar itu dianggap wajar memandangkan kebolehan dan kemampuan mereka. Kalau mereka mendapat itu juga dianggap wajar. Tentulah tidak wajar mengatakan kedudukan sang ayah sebagai Perdana Menteri tidak membantu anak-anaknya dalam perniagaan dan perusahaan.
Tapi bagaimanakah adik-beradik Anwar yang tidak pernah terdedah dalam dunia korporat sebelum Anwar menjadi menteri tiba-tiba kini menjadi pengerusi berbagai-bagai syarikat yang disenaraikan BSKL dan juga syarikat sendirian berhad yang lain? Barangkali otak dan kemampuan mereka sebagai tokoh-tokoh korporat adalah lebih baik dari anak-anak Mahathir.
Mereka sama-sama mengamalkan nepotisme, bukan hanya Mahathir.
Rakyat tidak marah kalau membantu anak buah sedikit sebanyak. Rakyat hanya benci dan marah menyinga kalau nepotisme itu keterlaluan hingga mengancam rezeki dan peluang mereka yang bukan ada pertalian darah dengan kedua-duanya.
petikan buku tulisan Yahaya Ismail bertajuk " 62 Dalil Mengapa Reformasi Anwar Gagal", Penerbitan Usaha Teguh Sdn Bhd, Petaling Jaya, 1999.