SAYA pernah mengkritik Umno dalam tulisan saya sempena Perhimpunan Agung Umno yang lepas dan sebelum. Ketika itu saya tetamu parti tersebut di perhimpunan mereka. Orang Umno tidak menzahirkan kemarahan atas kritikan itu.

Perasaan mereka, saya tidak tahu.
Muktamar Pas baru sahaja berlalu. Kali ini saya ingin sedikit melontarkan persoalan untuk berkongsi dengan Pas. Maaf, bagi saya Pas merupakan parti politik yang agar sukar menerima teguran. Sekalipun tidak dinafikan ada juga pimpinan Pas yang bersikap terbuka.

Pemuda Pas merupakan sayap yang sepatutnya menggambarkan 'open-mindedness', tapi menzahirkan reaksi yang agak keras setiap kali menerima kritikan. Pembaca boleh membaca reaksi timbalan ketuanya dalam memberi pandangan balas terhadap saya ketika saya melontar pandangan agar jangan tiru pendekatan Taliban dan jangan wujudkan negara mullah.

Dalam wacana di Sinar baru-baru ini mengenai ulama dan pemerintah, banyak kritikan saya tertumpu kepada Umno, tetapi pihak Pemuda Pas yang begitu melenting hanya kerana pandangan sepintas lalu agar Pas jangan nanti membentuk negara mullah.

Umno tidak sangat melantah. Saya mula risau tentang masa depan hak bersuara rakyat terhadap kerajaan jika Pas direzekikan ALLAH menguasai Putrajaya. Apakah pendekatan Umno sebelum PRU-12 akan dihidupkan semula? Atau lebih parah, atas nama Tuhan rakyat dilarang berbicara? Harapnya tidak begitu.

Berubah
Gerakan Islam di seluruh dunia terpaksa akur bahawa mereka perlu berubah jika ingin memastikan mereka terus relevan.  Bukan sahaja gerakan Islam, bahkan apa sahaja gerakan dalam dunia ini terpaksa akur bahawa cuaca baru yang sedang dihayati oleh umat manusia memerlukan satu kerangka baru dalam pemikiran dan perlaksanaan.
Politik adalah satu bidang yang membabitkan persoalan menguruskan manusia. Manusia itu terdedah kepada pengaruh tempat dan masa. Budaya dan cara berubah disebabkan persekitaran yang berbeza. Sudah tentu, iklim politik pada zaman Nabi s.a.w dan al-Khulafa al-Rasyidin tidak sama dengan zaman selepasnya.
Sudah pasti budaya dan cara politik pada zaman Umawiyyah dan ‘Abbasiyyah tidak sama dengan yang selepas itu. Demikian politik dalam era ‘nation states’ tidak sama dengan era empayar sebelum itu.
Globalisasi dan era ledakan maklumat telah mencetuskan pelbagai fenomena baru dalam kehidupan manusia.
Sesiapa yang cuba melaksanakan secara literal ataupun mengadaptasikan sepenuhnya teks politik zaman lampau ke zaman kini, maka dia seorang yang naïf dan dangkal dalam memahami tabiat politik (naturalness of politics) , sekaligus rasional dan tabiat Islam (naturalness of Islam) itu sendiri.

Retorik
Semasa awal kebangkitan Islam, gerakan Islam khususnya yang banyak bercakap tentang politik banyak melaungkan slogan-slogan yang belum diuji keberkesanannya.
Sebahagian slogan itu didokong oleh sebahagian mereka dengan penuh 'dogmatic' dan 'rhetoric'.
Padahal, sebahagian besarnya hanyalah ijtihad ataupun tafsiran yang dibuat dengan pengaruh tertentu. Sedangkan Islam lebih luas dan terbuka dibandingkan dogma dan retorik tersebut.
Kesempitan beberapa pegangan mereka khususnya apa yang dikaitkan dengan teori ‘daulah Islamiyyah’ ataupun ‘Islamic State’ telah menghalang mereka maju ke hadapan. Slogan mereka menakutkan sebahagian rakyat. Islam yang menjadi agama rahmat, diungkap dan dilaungkan secara yang menggusarkan.
Fokus terhadap menghukum rakyat dengan ‘hukuman syariah’ lebih banyak dari bicara tentang memberikan 'service' dan hak-hak rakyat yang dibela oleh syariah.

Pendekatan sebahagian slogan Islam itu seakan ingin menjadikan rakyat ‘robot patuh shariah’ bukan sebagai manusia merdeka yang taat kepada Tuhan dengan penuh pilihan.

Nilai Semula
Setelah melalui beberapa pengalaman, akhirnya banyak gerakan Islam mula menilai semula. Dalam kalangan mereka mula memperkatakan tentang ijtihad-ijtihad baru mengenai politik. Mereka juga mula membahaskan betapa perlunya memahami teks dalam kerangka konteks.
Mula sedar betapa politik terdedah kepada perubahan. Islam hanya menetapkan dasar-dasar umum. Derita Dunia Muslim bukan kerana soal tiada hudud ataupun pemimpin tidak berserban, tetapi derita Dunia Muslim disebabkan 'bad governance', rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan lain-lain penyakit yang men’jahanam’kan negara.
Memalukan Dunia Muslim dibandingkan Barat yang sering mereka kutuk. Jika dilihat di sudut Islam agama yang mempentingkan kebersihan dan peraturan pun, malang sekali negara-negara umat Islam kebanyakan kotor, pengurusan yang buruk dan segala kemunduran hidup.

Sedangkan Barat yang meninggalkan agama itu jauh lebih bersih, kemas pengurusan mereka dan maju. Islam tidak salah, tetapi umatnya bersalah kerana meninggalkan ajaran Islam dalam hal-hal berkenaan.
Datang gerakan Islam pulak memberikan fokus yang tidak menggambarkan sifat Islam yang memberikan 'service' kepada kemaslahatan manusia. Maka, perubahan ataupun tajdid dalam gerakan Islam itu amat diperlukan.

Rakyat muslim mula muak dengan pemerintah-pemerintah mereka yang ada. Rasuah, salah guna kuasa,  memerah harta negara dan kezaliman menghiasi politik Dunia Muslim. Rakyat membenci pemerintah mereka sekian lama.

Era teknologi telah membuka peluang besar untuk kebangkitan yang lebih berkesan. Kombinasi antara teknologi dan hasrat perubahan politik menampakkan hasilnya. ‘Arab Spring’ menjadi bukti bahawa era baru mampu melakar politik gaya baru.
Siapakah yang akan menjadi harapan rakyat?
Gerakan Islam yang terlibat dengan politik cuba tampil ke hadapan sebagai satu alternatif baru. Persoalannya, apakah yang rakyat mahukan? Apakah mereka mahu keluar dari cengkaman golongan 'secularist' kepada cengkaman golongan mullah (clerics)?
Apakah mereka mahu kerakusan kuasa atas nama dunia ditukar kerakusan kuasa atas nama Tuhan dan agama? Sudah tentu tidak! Mereka mahukan hak, keadilan dan kenikmatan hidup sebagai insan yang bermaruah dan merdeka. Mereka sudah rimas dengan cengkaman penguasa. Islam yang rahmat diharapkan dapat menawarkan khidmat yang mereka idamkan. Mereka ingin melihat orang yang miskin dan melarat diberikan makan.
Bandar yang kotor menjadi bersih. Pengurusan yang buruk menjadi terurus. Rakyat diberikan ilmu dan pendidikan. Harta negara dibahagi secara adil dan kerajaan diurus dengan penuh amanah.
Mereka bukan bermimpi untuk melihat tangan rakyat dipotong, ataupun wanita direjam dengan batu, ataupun wanita dipukul kerana tidak bertudung dan seterusnya. Itu bukan mimpi mereka. Itu juga bukan mimpi Islam yang penuh rahmat ini. Mereka mengharapkan gerakan Islam menghilangkan sengsara mereka, bukan sekadar untuk menghukum mereka.

Mendapat Tempat
Atas kesedaran tentang hakikat politik Islami dan memahami tabiat baru dunia kini, banyak gerakan Islam mula membuat pendekatan baru. Slogan-slogan yang menakutkan telah cuba ditinggalkan.
Pendekatan ‘haram’, haram, haram mula ditukarkan dengan mencari dan memberi alternative halal yang lebih baik kepada rakyat.
Slogan-slogan Islam yang lebih memberikan harapan mula dilaungkan. Mereka mula memberikan khidmat kepada rakyat. Menambat hati mereka dengan janji yang selaras dengan cita dan cinta rakyat. Al-Ikhwan al-Muslimin juga mencari pendekatan baru di Mesir.
Demikian al-Nahdah di Tunisia. Turki dilihat mengepalai hal ini. Walaupun kerajaan Turki berasaskan secularism, tapi tokoh-tokoh Islam Turki tidak menjerit perlembagaan kufur atau ingin menghapuskan perlembagaan, sebaliknya bekerja dalam kerangka yang ada.
Ini sama dengan apa yang dibuat oleh Ashamah, Najashi di Habshah yang mengepalai negaranya yang Kristian. Dia menganut Islam secara senyap dan berhubungan dengan Nabi s.a.w melalui utusan dan surat menyurat. Nabi s.a.w tidak pernah menyuruhnya meletakkan jawatan, sebaliknya dia bekerja dalam kerangka yang ada dan termampu.
Maka, pemikiran tajdid dalam memahami realiti baru amat diperlukan oleh Pas.
Usahanya itu adalah bagi membolehkan Pas terus relevan dan mencapai maqasid politik yang dikehendaki oleh syarak. Usaha seperti ini amatlah penting, walaupun biasanya ia akan dikritik oleh penganut dogma lama. Pas itu sendiri hari ini hakikatnya telah cuba berubah dalam menangani persekitaran yang ada. Apakah Pas akan berjaya menawar khidmat islami yang relevan dengan kemanusiaan hari ini?

* Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pensyarah USM dan bekas Mufti Perlis





Persoalan lain: Dengan ugutan Karpal seperti ini mampukah PAS melangkah lebih gagah jika UMNO tersungkur kelak? Relevenkah PAS menjadi pemerintah mengganti UMNO? Dibimbangkan ia lebih merosakkan terutama apabila Perlembagaan Negara mengenai ISLAM berjaya dipinda.

Apa yang tersirat dalam tulisan Dr Asri ialah kejanggalan yang wujud dalam perjuangan PAS masa kini.  Jauh dari matlamat asal penubuhan PAS dan harapan Umat Islam. Persarikatan dengan DAP dan gerakan Liberal PKR menjadikan PAS semakin tidak relevan dalam usaha menjaga Islam. 
Ternyata ia lebih kepada retorik dan slogan. Perjuangan Ulama Terdahulu telah diselewengkan.