Mana lebih menakutkan antara "hantu ghaib" dengan "hantu nyata"? Nampaknya kini "hantu" ada di mana-mana dan semakin membiak. Paling menakutkan orang muda ialah "hantu ghaib" dari jenis "jin" yang dikenali dengan pelbagai nama. Bagi orang tua pula amat takutkan "hantu nyata" yang berjasad macam manusia.
hantu ke ? |
Satu kisah benar, tanyalah sahabat kita pegawai TV# yang menceritakan satu kisah antara 2 jenis hantu ini dan tersentuh pula kisah peminum arak (pun dikira hantu juga)
Ketika mencari dan mengintai entiti ghaib (hantulah tu), terserempak pula dengan hantu nyata iaitu manusia mempunyai perangai hantu. Seronok juga kisahnya.
JIka ada antara kumpulan penyelidik paranormal lain berminat menjalankan kajian bersama, sila hubungi saya di mazidulakmal@yahoo.com, kata Mazidul.
hantu 666 |
Dengusan
"Adam tak boleh nak bayar tol sebab dia tertinggal wallet. Dia minta saya bawa kereta, lesen pun tak ada lah tu," ujar Mohd Farid.
Ahmad Adam Aliff dan Mohd Farid Hamzah, dua rakan baik dan mereka menuntut di kolej swasta sama di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Sebaik kereta dipandu Rahmat Mokhtar, dinaiki oleh saya, Muhammad Zaki Muhammad dan Farid berhenti sebelum plaza tol di Lebuh Raya Duke, pantas saya merakamkan gelagat Adam pada jam 12.28 malam.
Destinasi tujuan kami, AU3 Keramat, Kuala Lumpur.
Sejurus tiba di lokasi, kami berlima mula berjalan perlahan menuju ke loji takungan air, terletak kira-kira 300 meter dari jalan utama.
"Macam bunyi orang bergaduh," ujar saya.
Kenyataan terbabit tidak begitu diendahkan, mereka meneruskan perjalanan di dalam gelap bertemankan lampu suluh. Adam mendahului, diekori rapat oleh Rahmat, Zaki dan Farid. Saya di BELAKANG sekali.
Kurang 100 meter dari loji, kami berhenti, Adam membongkok. Jelas kedengaran di telinga kami, bunyi dengusan kuat dari arah hutan di sebelah kanan.
"Lari!!!"...... Jerit Rahmat kuat, memecah keheningan awal pagi.
Tanpa menoleh kebelakang, kami pantas menghayun langkah seribu, berlari menuju ke kawasan cerah berhampiran kawasan perumahan Kelompok Kuang, AU3.
"Kalau hantu tak apa, takut tadi binatang buas, babi ke," celah Rahmat.
Dalam acara larian gaya bebas, hampir jam 2 pagi itu, dia merangkul tempat pertama manakala Adam di kedudukan terakhir. Saya tidak dapat mengenal pasti pingat dimenangi, barangkali sekadar gangsa.
Sebaik tiba di kawasan cerah, kami berhenti menghela nafas lega.
"Hui! Apa hal tu? Siap kejar pakai parang dan kayu!," celah Farid.
"Jom kita tengok apa berlaku," sambut Adam.
Kami bergegas berjalan menuju ke arah rumah flat, terletak kurang 200 meter. Ramai penduduk kelihatan berkumpul, kecoh di hadapan rumah bawah diterangi lampu.
"Siapa tu? Kawan-kawan dia?," jerit penduduk.
Perlahan saya memberikan salam dan disambut oleh mereka.
"Oh! Mazidul. Budak ni mabuk, tadi dia datang dengan kawan-kawan, lebih 15 orang, naik motosikal. Bergaduh dan cangkul kepala budak sini, cedera parah dan dah dihantar ke hospital," jelas penduduk.
"Saya minum setin sahaja," ujar remaja berusia 23 tahun itu.
Mulut dan beberapa bahagian badan dan bajunya berdarah.
Dia mendakwa berkunjung ke kawasan perumahan itu untuk menyelesaikan masalah pasangan bercinta terbabit dalam pergaduhan. Hemat saya, dia tersilap langkah kerana membawa bersama ramai rakan panas baran lalu bertindak memukul beberapa remaja di lokasi sama secara membuta tuli.
Beberapa anggota polis tiba lebih awal dilaporkan bertembung dengan kumpulan remaja Melayu samseng terbabit sebelum mereka memboloskan diri.
"Dua motosikal dia orang tertinggal," ujar penduduk marah.
Berikut satu daripada kenderaan terbabit.
Gambar luka dialami seorang daripada mangsa sempat saya rakamkan sebelum dia dibawa ke hospital.
"Engkau ni menyusahkan orang mencari hantu!"
Rungut Rahmat sambil bergurau ketika dia berdiri berhampiran remaja ditinggalkan dek rakan lain.
Kereta peronda tiba pada jam 2.23 pagi kemudian membawa remaja mabuk dan cedera itu ke Balai Polis Jalan Tun Razak dengan tangan digari.
"Kira hebatlah budak-budak sekarang ni, berani datang attacked macam itu sahaja. Sebelum ini tak pernah berlaku kejadian macam ini," perli Shabudin.
Sabruddin Mohd Waras atau 'Budin', sahabat saya, tinggal di kawasan berhampiran, dikejutkan ketika dia sedang lena tidur. Kurang 10 minit selepas dimaklumkan berhubung kekecohan berlaku, dia tiba dengan menaiki motosikal.
"Kalau nak cari hantu, dekat rumah saya tu ha!," ujar Mohd Shah Sahal.
Kami kemudian mengikut langkah Shah, 48 tahun.
"Cucu saya biasa jumpa hantu bila dia keluar pintu rumah. Dia kata, atuk! momok. Pokok besar dekat rumah saya tu, berapa kali kakitangan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) datang, cuba nak tebang tetapi tak boleh," jelas Shah.
Jam menunjukkan pukul 2.46 pagi ...
"Dua batang pokok di belakang sana lagi 'hebat'. Setiap kali DBKL datang, dia orang cakap, lori tak boleh nak masuklah, itulah, inilah, dah penat nak cerita," jelas Shah lagi.
"Ada tiga langsuir tinggal di kawasan ini. Dia orang tak nak pindah sebab ini pokok asal," celah Adam.
Tenang, Budin sekadar memerhati keadaan sekitar, tanpa bersuara.
"Sebelum ini, kita dah pernah buang satu," dakwa Shah.
"Cucu saya perempuan, umur baru setahun setengah. Dia memang selalu nampak macam bercakap dan berkawan dengan 'benda' tinggal di sini. Dia siap cakap, dia main dengan 'kawan'. Mazidul tengok di celah di antara pokok dan tiang ni, itu rumah saya. 'Benda' tu selalu muncul di depan pintu, lepas tu hilang, lari ke bahagian belakang," jelas Shah berdiri di sebelah saya.
"Jomlah, kita repeat balik tempat tadi," saran Rahmat.
Tanpa berlengah, kami bergerak ke arah tangki air sekali lagi, disertai Budin
Di kiri dan kanan, hutan tebal, suasana terasa sunyi tanpa siulan unggas rimba. Berjalan mendaki bukit kira-kira 10 minit dari jalan utama, peluh mula memercik di dahi dan membasahi baju tebal.
Dalam kegelapan malam, saya rakamkan gambar orbs pelbagai warna, muncul seketika dan kemudian menghilang di ruang udara.
Lebih sejam berada di kawasan itu, mujur tiada lagi kedengaran dengusan kuat menakutkan seperti sebelumnya.
Teringat kata-kata Shah, sebelum kami bergerak ke kawasan tangki air terbabit.
"Kalau datang siang, tepat masanya memang boleh terserempak dengan couple datang membuat maksiat di kawasan tu. Kalau tengok betul betul 'sarung' (kondom) banyak bersepah di situ"
Hampir jam 4 pagi, kami bergerak keluar dan tiba-tiba ...
"Eh! Apa benda bersinar tu?," soal Rahmat.
Semua mata tertumpu ke arah 'objek' di tepi hutan, di sebelah kiri jalan. Saya menghulurkan pisau lipat kepada Adam.
"Jangan ada ular, sudah," kata Adam.
Perlahan dan berhati-hati dia meredah semak dan cuba mendapatkan objek kelihatan bersinar,glow in the dark terbabit.
"Tengok daun pokok pisang tu, bergoyang sendiri, walhal daun dan pokok lain tak bergerak sedikit pun," bisik Zaki.
Saya menyaksikan kejadian aneh itu. Daun terbabit bergoyang tanpa henti buat beberapa minit biarpun pada waktu tiada angin bertiup.
Barangkali belalang bertenggek di daun, itu detak hati saya.
"La! Cendawan rupanya! Cendawan glow in the dark!," teriak Adam.
Sebelum pulang, pada jam 4.30 pagi, terlintas di fikiran, apakah lagi antara khazanah lain disimpan dek hutan tebal dan gelap selain daripada cendawan berciri istimewa itu?
Nukilan Mazidul Akmal Sidik
Sekian kisah Mazidul dengan beberapa ekor hantu! Boleh percayakah cerita hantu yang dipaparkan oleh Mazidul dan rakan-rakannya? Terserahlah.
Hantu Asli:
Hantu Raya, Polong, Langsuir, Pontianak, Pari-pari, banyak lagi .... berbagai nama. Semua itu dari makhluk jin yang bersemuka atau menzahirkan dirinya untuk mensyirikkan manusia beriman. Mereka juga membiak malah lebih cepat dari manusia.
Manusia ini pelik perangainya, ada yang begitu mersungguh-sungguh mencari dan mengesan hantu-hantu ini. Betindak dalam dua kondisi serentak iaitu gabungan antara berani dan takut. Banyak lebih takut dari berani. Bunyi ranting patah pun disangkanya hantu. Begitulah hebatnya hantu mennyusahkan manusia.
Hantu Tiruan:
Hantu jenis ini pula takut kepada manusia. Seringkali berpesta dalam gelap atau tempat terasing jauh dari manusia ramai. Pada masa ini mereka banyak beredar di bandar dan yang lebih dahsyat perangainya ada di pusat-pusat bandar atau bandaraya. Siapakah mereka? Rupanya sebiji macam kita semua. Mereka bertukar jadi hantu bila terasa nak jadi hantu. Di masa lain mereka berlakon sebagai manusia. Mereka terdiri dari makhluk serupa manusia tetapi terlalu taksub dengan keinginan yang terkeluar dari manusia bertamaddun. Antaranya ialah penggemar seks bebas, peminum arak, penagih dadah, mat rempit, kaki disko dan sebagainya. Mereka juga mempunyai pelbagai nama. Pusingan hidup mereka hanya di sekitar bidang ketagihan dan keseronokan mereka sahaja yang jauh dari sifat semula jadi manusia. Yang peliknya, hantu jenis ini tak takut langsung hantu asli sebaliknya takut kepada "manusia asli"... fikirkanlah.
0 comments:
Post a Comment
Sila beri pandangan anda, elakkan dari kata nista atau kata-kata di luar peradaban. Pandangan Tulus dari anda amat dihargai, terima kasih.