Sunday, May 2, 2010

sufism - TASAWWUF

“sesiapa yang bertasawwuf tanpa fiqh, maka sesungguhnya dia menjadi zindiq, sesiapa yang mengamalkan fiqh tanpa tasawwuf maka sesungguhnya dia menjadi fasiq, sesiapa yang menghimpunkan antara kedua-duanya maka sesungguhnya dia telah mencapai hakikat” - IMAM MALIK


TASAWWUF DAN PERANANNYA DALAM PEMBINAAN KERANGKA SPIRITUAL AHLI SUNNAH WA AL-JAMA`AH
14 April 2009 

Oleh
Abdul Manam bin Mohamad al-Merbawi
Jabatan Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam
Universiti Darul Iman Malaysia Kampus KUSZA

Pendahuluan
Tasawwuf merupakan salah satu dari tiga tiang asas agama Islam. Ia merupakan dimensi kerohanian bagi agama ini. Dengannya Iman dan keyakinan menjadi lebih kuat, perlaksanaan terhadap tuntutan syariat menjadi lebih sempurna dan penghayatan nilai-nilai akhlak menjadi lebih berkesan. Tanpanya Iman hilang kemanisannya, amal ibadah hilang kekhusyukannya dan akhlak hilang kemurniannya. Ia seumpama kawalan keselamatan dan perhiasan bagi sesebuah rumah yang menjadikannya lebih selamat dan bernilai tinggi. Memiliki keimanan semata-mata tanpa keislaman dan keihsanan adalah seumpama memiliki tapak rumah. Sekalipun pemiliknya ada tempat bertapak namun dia terdedah kepada kepanasan matahari dari basahan hujan. Memiliki keimanan dan keislaman semata-mata pula tanpa keihsanan adalah seumpama memiliki tapak dan rumah yang tidak siap dan tidak sempurna. Sekalipun pemiliknya ada tempat berteduh namun ia terdedah kepada kecurian dan rumahnya tidak bernilai tinggi. Manakala ihsan pula adalah seumpama rumah yang lengkap dan berperhiasan yang bukan sahaja selamat dihuni malah bernilai tinggi.

Dunia Islam telah melahirkan ramai tokoh ahli tasawwuf berkalibar. Mereka telah meletakkan asas-asas, menghuraikan permasalahan dan menulis karya-karya demi menyebarkan ilmu dan menjaga tasawwuf daripada penyimpangan dan penyelewengan golongan yang jahil, berpura-pura dan berniat jahat terhadap tasawwuf dan Islam. Hasil daripada usaha mereka inilah huraian mengenai tasawwuf yang murni masih dapat ditemui sampai sekarang termuat dalam karya-karya mereka sekalipun wujudnya unsur-unsur kesamaran dan penyelewengan yang disebarkan oleh golongan Batiniyyah dan sebagainya yang berlabel dan berselindung di sebalik nama tasawwuf. Kertas kerja ini akan menjelaskan beberapa perkara asas yang akan memberikan gambaran tentang tasawwuf seperti yang dihuraikan oleh para ulamanya yang muktabar. 

Konsep Tasawwuf
Tasawwuf selalu diberikan gambaran yang menyentuh sudut-sudut tertentu sahaja terutamanya ketinggian akhlak, kezuhudan, peribadatan dan kekeramatan lahiriah. Menggambarkan tasawwuf dengan gambaran-gambaran tersebut ternyata tidak tepat dan tidak menyentuh intipati sebenar dan menyeluruh tentang tasawwuf itu. Pengertian sebenar tasawwuf itu ialah pencapaian darjat ihsan yang digambarkan dalam hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.

Hakikat ihsan itu tercapai dengan dua perkara iaitu ibadah yang sempurna lagi berterusan dan kehadiran hati, kesedaran jiwa, serta penyaksian batin terhadap makna-makna ketuhanan (hakikat-hakikat tawhid) dalam ibadah tersebut. Penyaksian batin ini diistilahkan oleh ulama tasawwuf sebagai muraqabah dan musyahadah dan ia mempunyai beberapa tingkatan tertentu. Pencapaian musyahadah ini akan membuahkan berbagai ahwal dan maqamat. Dari sinilah timbulnya berbagai persoalan tasawwuf yang dibicarakan secara panjang lebar oleh ahli sufi dalam karya-karya mereka.

Dengan kata lain, hakikat sebenar tasawwuf itu ialah tercapainya kebersihan diri, zahir dan batin. Kebersihan zahir membawa maksud keterikatan anggota lahiriah manusia dengan peraturan atau hukum-hukum agama iaitu apa yang diistilahkan sebagai `ibadah. Kebersihan batin pula bermaksud kebersihan hati daripada sifat-sifat tercela (takhalli) dan terhiasnya ia dengan sifat-sifat terpuji (tahalli) iaitu apa yang disebut sebagai `ubudiyyah. Manakala kemuncak kebersihan batin manusia itu ialah terbuangnya sesuatu yang lain daripada Allah dari lubuk hati dan zahir kebenaran Allah di hati itu (tajalli) sehingga ia dapat melihat dengan jelas tanda-tanda keagunganNya dan merasai kehebatanNya iaitu apa yang dinamakan `ubudah. Kebersihan batin inilah yang membawa kepada tercapainya darjat ihsan seperti yang digambarkan dalam hadis.

Pengertian tasawwuf seperti inilah yang dapat dilihat pada definisi yang diberikan oleh Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Menurut beliau, tasawwuf itu ialah penyucian hati (tasfiyah) daripada sesuatu yang lain dari Allah. Shaykh Ahmad Zaruq telah meneliti definisi-definisi yang telah dikemukakan oleh para ulama tasawwuf dan membuat kesimpulan dengan menyatakan bahawa tasawwuf telah dihurai, ditafsir dan didefinisikan sejumlah hampir dua ribu. Semua itu terhimpun atau merujuk kepada satu pengertian sahaja iaitu “benarnya tawajjuh hati kepada Allah”. Permulaan tawajjuh hati itu ialah terhasilnya intibah (kesedaran jiwa) yang membawa kepada taubah yang benar. Pertengahannya ialah merasai ahwal dan mencapai maqamat. Kesudahannya pula ialah tertumpu pandangan hati hanya kepada Allah semata-mata, tidak kepada yang lain dariNya. Di sinilah terhasilnya musyahadah dan inilah kemuncak ihsan.

Kedudukan Tasawwuf Dalam Islam
Agama Islam secara umumnya menjadi lengkap dengan adanya tiga perkara iaitu islam, iman dan ihsan yang merupakan tiga rukun agama. Kedatangan Jibril a.s. menemui Nabi s.a.w. dan seterusnya bertanyakan baginda tentang islam, iman dan ihsan dalam peristiwa yang terkenal itu adalah bertujuan mengkhabarkan tentang rukun agama yang terdiri dari tiga perkara tersebut. Perkara ini dapat diperhatikan pada penjelasan Nabi s.a.w. yang bermaksud “sesungguhnya dia itulah Jibril yang datang kepada kamu bagi mengajarkan kepada kamu agama kamu”.

Ketika Nabi s.a.w. ditanya tentang islam baginda menjelaskan bahawa ia adalah mengucap dua kalimat shahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan, dan menunaikan haji bagi yang mampu. Apabila Nabi s.a.w. ditanya tentang iman baginda menjelaskan bahawa ia adalah percaya kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat dan percaya kepada ketentuan Allah sama ada baik atau buruk. Apabila Nabi s.a.w. ditanya pula tentang ihsan baginda menjelaskan bahawa ia adalah beribadat kepada Allah seolah-olah melihat-Nya sekiranya tidak melihat-Nya maka Allah itu melihat hamba-Nya. Keseluruhan rukun islam adalah merujuk kepada amalan lahiriah manusia. Rukun iman pula merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan hati. Manakala ihsan pula merujuk kepada penyaksian hati yang membawa kepada pencapaian hakikat keikhlasan.

Pengamalan terhadap rukun Islam diistilahkan sebagai syariat atau maqam Islam. Manakala peningkatan tahap kebersihan dan kejernihan rohani yang dicapai hasil daripada pengamalan terhadap syariat itu diistilahkan sebagai tarekat atau maqam Iman. Tarekat itu pula membawa kepada sesuatu yang diistilahkan sebagai hakikat atau maqam Ihsan. Hakikat itu secara keseluruhannya bermaksud pencapaian dan penyaksian rohani terhadap hakikat-hakikat ketuhanan Allah dan keikhlasan dalam melaksanakan ibadat. Hakikat atau maqam Ihsan inilah merupakan intipati tasawwuf.

Dengan kata lain syariat atau maqam Islam itu ialah ibadat kepada Allah yang berasaskan keyakinan terhadap-Nya semata-mata. Tarekat atau maqam Iman itu ialah gerakan rohani iaitu peningkatan tahap kehadiran hati dan kebersihan batin yang berlaku di sebalik ibadat tersebut. Manakala hakikat, maqam Ihsan atau tasawwuf itu pula ialah penyaksian hati terhadap hakikat-hakikat ketuhanan Allah sehingga fana´ dalam penyaksian tersebut. Hakikat adalah hasil atau natijah yang diperolehi daripada tarekat dan tarekat itu pula adalah natijah yang didapati daripada syariat.

Ahli tasawwuf menggunakan istilah yang berbagai-bagai dalam menggambarkan ketiga-tiga perkara ini. Antaranya, ada yang menjelaskan syariat itu sebagai `ibadah, tarekat itu `ubudiyyah dan hakikat itu `ubudah. Ada juga yang menggambarkan syariat itu sebagai khidmah (praktik atau amali), tarekat itu qurbah (pendekatan diri) dan hakikat itu wuslah (pencapaian rohani). Ada juga yang menyebut syariat itu sebagai ibadat, tarekat itu hudur (kehadiran hati) dan hakikat itu shuhud (penyaksian rohani). Apa yang jelas, kepelbagaian istilah tersebut adalah merujuk kepada perkara yang sama. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa tasawwuf ialah maqam Ihsan yang merupakan hasil daripada perlaksanaan terhadap syariat secara yang lebih murni, teratur, terfokus, terpimpin dan istiqamah yang menatijahkan peningkatan tahap kejernihan rohani iaitu apa yang disebut sebagai tarekat.

Tasawwuf Bukan Hanya Pengetahuan Tetapi Juga Satu Pencapaian
Dari satu sudut, tasawwuf mempunyai dua pengertian iaitu pengertian umum dan pengertian khusus. Pengertian umum bagi tasawwuf secara keseluruhannya ialah satu bentuk ilmu tentang cara-cara mendidik dan membersihkan hati yang mana ia boleh diketahui menerusi pembelajaran dan pengkajian. Antara tokoh-tokoh tasawwuf yang mendefinisikan tasawwuf sebagai satu bentuk ilmu ialah Shaykh Ahmad Zaruq dan Haji Khalifah. Menurut Shaykh Ahmad Zaruq tasawwuf itu ialah satu ilmu yang bertujuan memperbaiki hati dan mengkhususkannya bagi Allah semata-mata tanpa sesuatu yang lain dariNya. Manakala Haji Khalifah pula mendefinisikan tasawwuf sebagai satu ilmu yang dengannya diketahui cara peningkatan golongan manusia yang sempurna dalam mencapai tingkatan kebahagiaan mereka.

Manakala tasawwuf dengan pengertiannya yang khusus pula merujuk kepada pencapaian hakikat-hakikat tasawwuf tersebut sehingga ia menjadi suatu pengalaman bagi diri seseorang itu dan seterusnya menjadi sifat yang sebati dengan dirinya. Antara ahli tasawwuf yang mendefinisikan tasawwuf dengan pencapaian hakikatnya ialah Shaykh Junayd al-Baghdadi dan Shaykh Ma`ruf al-Karakhi. Antara definisi al-Junayd terhadap tasawwuf ialah “bahawa yang sebenar (al-Haq) itu menghapuskan engkau dari diri engkau dan menghidupkan engkau dengan-Nya”. Keterangan beliau ini adalah mengisyaratkan kepada keadaan fana’ yang dirasai oleh hamba. al-Junayd juga pernah ditanya tentang tasawwuf lalu menjawab “iaitu engkau berserta Allah tanpa sebarang ikatan”. Kenyataan beliau ini pula mengisyaratkan kepada kedekatan rohani dan pencapaian hakikat. Manakala al-Karakhi pula mendefinisikan tasawwuf itu sebagai “berpegang dengan hakikat dan tidak berkeinginan terhadap apa yang dimiliki oleh makhluk”.

Imam al-Ghazali telah menggabungkan kedua-dua pengertian tasawwuf ini dalam satu definisi. Menurut beliau, tasawwuf itu permulaannya ilmu, pertengahannya amal dan kesudahannya pemberian (mawhibah). Ilmu itu membongkar apa yang dikehendaki, amal itu membantu dalam menuntut (apa yang dikehendaki), dan pemberian itu menyampaikan kepada kemuncak cita-cita. Gabungan kedua-dua pengertian tasawwuf ini dapat dilihat dalam definisi beliau di atas di mana beliau telah membahagikan tasawwuf itu kepada tiga peringkat iaitu permulaan (ilmu), pertengahan (amal) dan kesudahan (pemberian). Ketiga-tiga perkara tersebut terangkum dalam pengertian tasawwuf. Demikian juga Shaykh Ibn `Ajibah di mana beliau juga telah menggabungkan kedua-dua pengertian tasawwuf ini dalam satu definisi. Menurut beliau tasawwuf itu adalah satu ilmu yang mana dengannya diketahui cara-cara berjalan menuju ke hadrah Allah, membersihkan batin daripada perkara-perkara keji dan menghiasinya dengan berbagai bentuk perkara kebaikan. Permulaannya ilmu, pertengahannya amal dan kesudahannya pemberian ilahi.

Beberapa Elemen Asasi Tasawwuf
Terdapat beberapa elemen yang membentuk tasawwuf. Antara elemen utama yang membentuk tasawwuf itu ialah kesucian diri (safa’) dan penyaksian hati, peribadatan, ahklak dan kezuhudan.

i-Kesucian Diri dan Penyaksian Hati
Kesucian diri merupakan intipati bagi tasawwuf. Ia bermaksud sucinya diri daripada pelanggaran terhadap hukum syariat, sifat-sifat kecelaan, pegangan atau keyakinan yang batil dan juga tumpuan, tilikan serta pergantungan hati kepada sesuatu yang lain daripada Allah. Kesucian diri ini akan membawa kepada penyaksian hati terhadap kebenaran ketuhanan Allah, keagungan, keindahan dan kesempurnaanNya. Pencapaian penyaksian hati ini akan membuahkan keyakinan yang mantap selain akhlak yang mulia dan ibadat yang murni.

Elemen kesucian diri ini dapat dilihat dalam banyak takrifan yang diberikan oleh para ulama tasawwuf antaranya ialah takrifan yang dikemukakan oleh Shaykh Abu Bakr al-Kattani, Shaykh Abu Sa`id al-Khrraz dan Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Dalam mentakrifkan tasawwuf, al-Kattani menyebut bahawa tasawwuf itu ialah kesucian diri (safa’) dan penyaksian hati (musyahadah). al-Kharraz telah ditanya tentang sufi lalu menjawab bahawa “(sufi itu ialah) orang yang tuhannya telah membersihkan hatinya sehingga hatinya dipenuhi dengan cahaya hidayah dan orang yang berada dalam kelazatan dengan mengingati Allah. al-Jilani pula menjelaskan bahawa asal perkataan sufi itu ialah sufiya yang di ambil dari perkataan al-musafat. Kerana itu dikatakan bahawa sufi itu ialah orang yang bersih daripada penyakit-penyakit nafsu, bebas (bersih) daripada sifat-sifat kecelaannya, melalui jalan-jalan kesufian yang terpuji, berpegang dengan hakikat-hakikat kebenaran dan tidak tenteram (cenderung) hatinya kepada sesuatu makhluk. 

ii-Peribadatan
Tasawwuf juga mengandungi elemen peribadatan iaitu kesungguhan, ketekunan, ketertiban dan keikhlasan dalam melaksanakan amal ibadah. Ini bererti sufi itu ialah orang yang menekuni amal ibadah dan bersungguh-sungguh melaksanakannya dalam bentuk yang lebih sempurna, teratur dan istiqamah. Elemen peribadatan dalam tasawwuf antara lain dapat dilihat pada definisi yang dikemukakan oleh Shaykh `Ali al-Muzayyin. Tasawwuf menurut beliau ialah ketaatan atau kepatuhan kepada Allah. Begitu juga Imam al-Ghazali yang antara definisi beliau terhadap tasawwuf ialah mencampakkan diri dalam `ubudiyyah (perhambaan diri kepada Allah) dan bergantung hati dengan rububiyyah (ketuhanan Allah).

iii-Akhlak
Ketinggian akhlak juga merupakan antara elemen asasi tasawwuf. Ini bererti sufi itu ialah orang yang berakhlak mulia dan bersih daripada akhlak yang keji. Elemen akhlak dalam tasawwuf antara lain dapat dilihat dalam takrifan yang dikemukakan oleh Abu Bakr al-Kattani. Tasawwuf itu menurut beliau ialah akhlak, sesiapa yang melebihi engkau pada akhlak, maka sesungguhnya dia melebihi engkau pada kejernihan rohani. Begitu juga Ahmad al-Jariri di mana tasawwuf itu menurut beliau ialah bersifat dengan semua akhlak yang murni dan bersih daripada semua akhlak yang hina.

iv-Kezuhudan
Antara elemen asasi tasawwuf ialah kezuhudan dengan erti ketidakcenderungan hati kepada perkara keduniaan, bukan semata-mata meninggalkan perkara keduniaan. Elemen kezuhudan dalam tasawwuf dapat dilihat antara lain pada takrifan yang diberikan oleh Samnun. Tasawwuf menurut beliau ialah bahawa engkau tidak memiliki sesuatu dan tiada sesuatu yang memiliki engkau. Begitu juga yang terdapat pada takrifan Ma`ruf al-Karakhi di mana tasawwuf menurut beliau ialah berpegang dengan hakikat dan berputus-asa (tidak berkeinginan) terhadap apa yang ada pada tangan (milik) makhluk.

Elemen-elemen seperti peribadatan, berakhlak mulia dan kezuhudan lahiriah secara berasingan tidak menggambarkan hakikat sebenar tasawwuf, namun ia adalah sebahagian daripada elemen yang membentuk tasawwuf dan tidak dapat dipisahkan daripadanya. Ketekunan melakukan amal ibadah tidak semestinya menunjukkan kesufian. Demikian juga memiliki akhlak yang mulia dan kezuhudan. Namun seorang sufi itu pasti menekuni amal ibadah, berakhlak mulia dan bersifat zuhud dalam bentuk yang sesuai dengan keadaan mereka.

Tasawwuf dan `Itiqad Yang Benar
Tasawwuf tidak dapat dihayati secara sebenarnya dan diselami secara mendalam sehingga sampai kepada hakikatnya oleh golongan yang berpegang dengan akidah yang menyimpang daripada landasan akidah yang hak iaitu Akidah ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. al-Baghdadi dalam al-Farq Bayn al-Firaq telah menyenaraikan kumpulan ahli tasawwuf sebagai satu golongan daripada Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Manakala al-Isfarayini pula dalam al-Tabsir fi al-Din menjelaskan bahawa antara keistimewaan mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah yang membezakannya daripada mazhab-mazhab lain ialah adanya tasawwuf yang bersih daripada perkara bid`ah.
al-Ghazali 1058-1128

Tokoh-tokoh tasawuf terkenal telah menegaskan tentang keperluan seseorang kepada aqidah yang benar dalam usaha menghayati tasawwuf. Sebagai contoh, al-Daqqaq iaitu guru kepada al-Qushayri menjelaskan bahawa seseorang salik yang berada pada peringkat permulaan perjalanan kerohaniannya semestinya membetulkan pegangan dan keyakinannya terhadap Allah s.w.t iaitu pegangan yang bersih daripada sangkaan dan keraguan, bebas daripada kesesatan dan bid`ah dan bersumberkan dalil serta hujah. Perkara yang sama juga telah dinyatakan oleh al- al-Ghazali. Beliau menyebut bahawa perkara yang mula-mula sekali yang mesti dilakukan oleh seseorang yang mahu menempuh jalan Allah ialah mempunyai pegangan yang betul dan bersih daripada perkara bid`ah. Keterangan al-Daqqaq dan juga al-Ghazali ini jelas menunjukkan bahawa aqidah yang dikehendaki seseorang itu mempelajari dan meyakininya ialah aqidah yang bersih daripada sebarang bid`ah, sangkaan dan keraguan, malah ia berasaskan keyakinan yang bersumberkan bukti dan dalil yang kukuh serta jelas. Aqidah tersebut merupakan aqidah yang membetuli aqidah Salaf iaitu aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Aqidah Salaf secara umumnya ialah mengakui dan mempercayai Tuhan yang maha esa, tiada tuhan melainkan Dia yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan seperti hidup, mengetahui, berkuasa, berkehendak dan lain-lain lagi sebagaimana Allah sifatkan dhat-Nya dengan sifat-sifat tersebut yang ditemui dalam al-Qur’an, hadith Nabi s.a.w, keterangan para sahabat dan juga tabi`in. Demikian juga Tuhan maha suci daripada sifat-sifat kekurangan seperti berjisim, bertempat, bersifat dengan sifat-sifat makhluk, mempunyai arah tertentu, mempunyai warna, mempunyai rupa-bentuk dan sebagainya. Mengenai mutashabihat (perkara-perkara yang menimbulkan kesamaran) seperti Allah bersemayam (istiwa´) di atas `Arash, Allah mempunyai tangan (al-yad), muka (al-wajh) dan lain-lain lagi seperti yang terdapat dalam al-Qur´an dan hadith, maka pegangan Salaf dalam perkara ini ialah mempercayai dan meyakininya secara umum dengan menyerahkan penentuan maksud sebenar perkara tersebut kepada Allah dan mengetahui bahawa tidak ada sesuatu yang menyerupai-Nya dan perkara-perkara tersebut thabit bagi Allah sebagaimana Allah menthabitkan bagi diri-Nya dalam al-Qur´an.

al-Ghazali pula telah menerangkan dengan lebih terperinci lagi tentang perkara ini dengan menjelaskan bahawa mazhab Salaf mengandungi tujuh perkara iaitu;

Pertama: Mensucikan Allah daripada sifat-sifat kebendaan seperti berupa, berbentuk, berjisim dan seumpamanya.

Kedua: Membenarkan dan mempercayai apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu benar dan ia merupakan perkara sebenar seperti yang disabda dan dimaksudkan oleh baginda.

Ketiga: Mengakui kelemahan atau ketidakmampuan dirinya untuk mengetahui maksud perkara-perkara tersebut dan ia bukanlah urusannya.

Keempat: Berdiam diri iaitu tidak bertanya tentang maksud perkara-perkara tersebut dan juga tidak berusaha mencari maksudnya di samping mengetahui bahawa bertanya tentang perkara tersebut adalah bid`ah.
Kelima: Menahan diri daripada melakukan tasarruf (ubah-suai) pada lafaz-lafaznya dengan merubah, menukar dengan bahasa lain, menambah, mengurangi, mencantum dan memisahkannya malah tidak menuturkannya kecuali dengan lafaz asalnya.

Keenam: Menahan diri daripada mencari maksud perkara-perkara tersebut dan berfikir tentangnya.

Ketujuh: Menyerahkan pengetahuan tentang maksud perkara-perkara tersebut kepada ahlinya iaitu tidak beranggapan bahawa oleh kerana perkara tersebut tidak diketahuinya kerana kelemahan dirinya, maka ia juga tidak diketahui oleh Rasulullah s.a.w, para nabi, siddiqin atau juga awliya´.

Termasuk dalam perkara membetulkan aqidah ialah membetulkan kepercayaan dan keyakinan terhadap para nabi dan rasul a.s. dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Kepercayaan kepada para nabi dan rasul ini ialah mengakui kenabian para nabi a.s. secara umum dan kenabian nabi Muhammad s.a.w secara khusus, kewajiban mematuhi dan mengikuti apa yang diperintah dan dilarang oleh baginda dan juga kewajiban mempercayai setiap perkara yang disampaikan mengenai sifat-sifat Allah, kebangkitan, syurga, neraka, perhimpunan, perhitungan, melihat Allah, hari kesudahan dan kehancuran dunia, azab kubur dan perkara-perkara lain lagi yang diriwayatkan daripada baginda s.a.w.

Dalam hal berkait perkara aqidah ini, seseorang itu tidak cukup hanya dengan bertaqlid (ikutan) semata-mata tanpa mengetahui dan memahami dalil-dalil iaitu dalil akal dan dalil naqli (al-Qur´an dan hadith). Ini kerana, bertaqlid semata-mata tanpa didasari dalil-dalil yang kuat menjadikan seseorang itu mudah terpedaya dengan tipu-daya syaitan yang menimbulkan berbagai was-was dan keraguan yang akhirnya menyebabkan dia tergelincir daripada landasan aqidah yang betul sebagaimana dikehendaki. Mengenai perkara ini, seorang tokoh tasawuf terkenal iaitu Ahmad al-Jariri menegaskan bahawa sesiapa yang keyakinannya tidak berdasarkan ilmu tauhid iaitu tidak memerhati, mempelajari dan memahaminya dengan betul berdasarkan dalil-dalilnya, maka tipu-daya akan menggelincirkan dan menjatuhkannya ke jurang kebinasaan.

Tasawwuf dan Keterikatan Dengan Syariat
Tasawwuf sering dikaitkan dengan fahaman “hakikat itu isi dan syariat itu kulit”. Lantaran itu segolongan orang yang merasakan diri mereka bertasawwuf mengambil sikap memandang remeh kepada syariat dan meringan-ringankannya malah mencuai dan mengabaikannya. Begitu juga tasawwuf sering dikaitkan dengan fahaman “gugur taklif” di mana menurut fahaman ini seseorang itu apabila sampai ke satu tingkatan yang tinggi dalam hubungan dengan tuhan akan gugur kewajiban melaksanakan syariat. Lantaran itu mereka tidak lagi melaksanakan solat dan kewajiban-kewajiban agama yang lain kerana merasa cukup dengan niat dan gerak hati semata-mata. Mereka beranggapan bahawa orang-orang yang melaksanakan kewajiban agama tersebut adalah terhijab dan bersifat kulit semata-mata.

Fahaman ini bukanlah fahaman tasawwuf yang sebenar. Ia adalah fahaman golongan Batiniyyah yang diseludup masuk ke dalam pemikiran tasawwuf. Tokoh-tokoh tasawwuf telah menjelaskan kebatilan fahaman ini dalam karya-karya mereka dan meletakkan garis panduan mengenainya. Mereka menetapkan bahawa antara prinsip utama tasawwuf ialah keterikatan dengan hukum-hukum syariat.

Dalam peristilahan ilmu tasawwuf, syariat itu merujuk kepada pengertian suruhan atau perintah melaksanakan `ubudiyyah dan perlaksanaan manusia terhadap perintah tersebut. Mengenai perkara ini al-Qushayri menyebut bahawa syariat itu ialah perintah supaya melaksanakan `ubudiyyah (perhambaan diri kepada Allah)…, syariat itu datang dengan mentaklifkan makhluk (manusia)…, syariat itu ialah beribadat kepada Allah…, syariat itu ialah perlaksanaan terhadap apa yang diperintahkan. Syariat juga adakalanya digunapakai di kalangan ahli tasawwuf dengan maksud al-Qur’an dan juga al-Sunnah. Oleh itu keterikatan dengan syariat bermaksud penjagaan terhadap suruhan dan larangan Allah dan tidak menyalahi al-Qur’an dan juga sunnah.

Syeikh Abd al-Qadir al-Jilani wafat pada 561 H berumur 91 tahun dan dikebumikan di Baghdad.

Ulama tasawwuf menyatakan dengan tegas bahawa syariat itu adalah asas atau dasar utama yang diperlukan dan tidak boleh ditinggalkan sama sekali dalam perjalanan menuju kepada Allah. Terdapat ramai dari kalangan mereka yang menegaskan tentang perkara ini antara mereka ialah Sahl ibn `Abd Allah al-Tustari, al-Junayd al-Baghdadi, Abu Yazid al-Bistami, `Abd al-Qadir al-Jilani, `Abd al-Wahhab al-Sha`rani dan lain-lain. Mengenai perkara ini al-Tustari menyatakan bahawa “dasar-dasar kami ada tujuh perkara iaitu berpegang dengan kitab Allah (al-Qur’an), mengikuti sunnah rasul-Nya s.a.w., memakan yang halal, tidak menyakiti makhluk, menjauhi dosa-dosa, taubat dan menunaikan hak”.

al-Junayd pula menegaskan bahawa “mazhab kami ini terikat dengan al-Kitab dan al-Sunnah”. al-Bistami pula telah ditanya tentang sufi lalu menjawab bahawa sufi itu ialah orang yang mengambil kitab Allah dengan tangan kanannya dan sunnah Rasulullah s.a.w. dengan tangan kirinya (berpegang dengan kedua-duanya). al-Jilani pula mengajarkan “terbanglah kepada Allah dengan dua sayap iaitu al-Kitab dan al-Sunnah, dan masuklah (hadrah)-Nya sedangkan tangan engkau berada pada tangan Rasul s.a.w. al-Sha`rani pula menyebut “sesungguhnya tarekat ahli sufi itu ditimbang (diukur) dengan al-Qur’an dan al-Sunnah seperti menimbang emas dan permata. Oleh itu orang yang menjalaninya memerlukan neraca syarak pada setiap gerak-gerinya”. Selanjutnya beliau berkata “sesungguhnya hakikat tarekat ahli sufi itu ialah ilmu dan amal, tulang dan dagingnya adalah syariat dan hakikat, tidak hanya dengan salah satu dari kedua-duanya sahaja.

Bagi ulama tasawwuf, terjadinya perkara-perkara yang luar biasa yang menjadi sebahagian daripada tanda-tanda kewalian, menjadi tidak bermakna jika wujud kepincangan dalam persoalan syariat ini. Shaykh Abu Yazid al-Bistami ialah antara tokoh tasawwuf yang banyak menyentuh tentang perkara ini. Beliau pernah berkata bahawa “sekiranya engkau melihat kepada seorang laki-laki yang diberikan kekeramatan sehingga dia dapat terbang di udara, maka janganlah engkau terpedaya dengannya sehinggalah engkau melihat bagaimana engkau mendapatinya di sisi suruhan dan larangan tuhan, menjaga batasannya dan menunaikan syariat”. Beliau juga diberitakan pernah mengajak murid-murid beliau untuk pergi menemui seorang lelaki yang memasyhurkan dirinya dengan kewalian yang mana dia adalah seorang yang zuhud. Apabila orang tersebut keluar dari rumahnya dan memasuki masjid, lalu dia meludah ke arah kiblat, maka Abu Yazid berpaling meninggalkannya dan tidak mengucapkan salam kepadanya seraya berkata “bagaimana dia boleh dipercayai terhadap apa yang didakwanya itu”?

Menurut ulama tasawwuf lagi seseorang itu tidak akan sampai kepada Allah seperti yang dikehendaki dalam ilmu tasawwuf tanpa bersyariat. Shaykh Abu al-Husayn al-Warraq ada menyebut tentang perkara ini. Beliau berkata bahawa “seseorang hamba itu tidak sampai kepada Allah kecuali dengan (kehendak dan ketentuan) Allah dan dengan membetuli nabi s.a.w. pada syariat baginda. Sesiapa yang menjadikan jalan yang membawa kepada sampai (kepada Allah) dengan tidak mengikuti nabi, maka dia akan sesat dalam keadaan dia menyangka dia mendapat pertunjuk”. Shaykh al-Junayd al-Baghdadi juga ada menyatakan perkara yang sama iaitu “tarekat-tarekat (jalan-jalan) semuanya tertutup bagi makhluk kecuali bagi orang yang menjejaki (mengikuti) rasul s.a.w., menuruti sunnah baginda, dan melazimi jalan baginda, maka sesungguhnya jalan-jalan kebaikan seluruhnya terbuka baginya”.

Imam Malik, sebagaimana yang diriwayatkan, ada menyebut tentang keperluan bersyariat ini sebagaimana kata-kata beliau yang bermaksud “sesiapa yang bertasawwuf tanpa fiqh, maka sesungguhnya dia menjadi zindiq, sesiapa yang mengamalkan fiqh tanpa tasawwuf maka sesungguhnya dia menjadi fasiq, sesiapa yang menghimpunkan antara kedua-duanya maka sesungguhnya dia telah mencapai hakikat”

Orang yang berpegang dengan tasawwuf (hakikat) semata-mata tanpa fiqh (syariat) menjadi kufur dan zindiq. Ini kerana dia hanya memandang kepada hakikat atau urusan ketuhanan semata-mata tanpa melihat kepada perintah Tuhan supaya melakukan ibadah dan usaha hamba melaksanakannya. Lantaran itu dia mengatakan manusia itu digagahi dengan ketentuan ilahi tanpa ada sebarang pilihan bagi dirinya dalam melakukan sesuatu perbuatan sama ada ketaatan atau maksiat. Iktikad seumpama ini adalah kufur dan zindiq kerana ia menafikan syariat (perintah Allah dan usaha hamba) dan ia dikenali sebagai iktikad jabariyyah. Manakala orang yang berpegang dengan fiqh semata-mata tanpa tasawwuf menjadi fasiq kerana lahiriahnya sahaja yang melaksanakan tuntutan syariat tetapi batinnya itu kosong dari ketaqwaan, keikhlasan dan kehadiran hati, malahan batinnya itu dipenuhi dengan berbagai sifat kecelaan yang merosakkan amalannya tanpa disedari. Orang yang berkeadaan demikian adalah dikira sebagai fasiq kerana kerosakan batinnya itu.

Imam al-Qushayri pula menjelaskan bahawa “setiap syariat yang tidak dikuatkan dengan hakikat adalah tidak diterima dan setiap hakikat yang tidak dihubungkan dengan syariat adalah tidak terhasil”. Hal yang sama juga ditegaskan oleh al-Tusi di mana beliau menjelaskan bahawa “yang zahir (syariat) itu tetap memerlukan yang batin (hakikat) dan yang batin itu pula tetap memerlukan yang zahir”. Penjelasan dua orang tokoh besar sufi ini cukup membuktikan bahawa antara syariat dan hakikat (tasawwuf) ada hubungan yang sangat rapat sehingga tidak boleh dipisahkan.

Kemestian bersyariat dalam bertasawwuf adalah sesuatu yang bersifat berterusan walaupun hakikat sudah tercapai. Ini menepati apa yang disebut secara terang dalam al-Qur’an di mana Allah berfirman yang bermaksud “dan sembahlah (beribadahlah kepada) Tuhan engkau sehinggalah kematian mendatangi engkau”. Demikian juga ia bertepatan dengan pendirian para ulama tasawwuf seperti Shaykh al-Junayd al-Baghdadi, Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani dan lain-lain. Shaykh al-Junayd menganggap iktikad gugurnya syariat dengan tercapainya hakikat sebagai satu perkara yang sangat berat (kufur) yang melebihi kesalahan mencuri dan berzina. Shaykh al-Jilani pula menegaskan tentang perkara tersebut dengan menyatakan bahawa “meninggalkan ibadah-ibadah yang difardukan adalah zindiq, melakukan perkara-perkara yang dilarang adalah maksiat, dan tidak akan gugur kewajiban-kewajiban dari seseorang itu dalam apa juga keadaan”.

Dalam persoalan hubungan di antara syariat dan hakikat ahli tasawwuf sependapat menyatakan bahawa tidak ada pertentangan atau percanggahan di antara kedua-duanya. Perkara ini antara lain dapat dilihat pada penegasan yang dikemukakan oleh Shaykh Abu Sa`id al-Kharraz dan Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Mengenai perkara ini al-Kharraz menegaskan bahawa setiap yang batin (hakikat) yang bercanggahan dengan yang zahir (syariat) maka ia tidak benar. Begitu juga al-Jilani menyatakan perkara yang sama iaitu “setiap hakikat yang tidak disaksikan (dibuktikan) dengan syariat maka ia adalah zindiq”.

Tasawwuf dan Kekeramatan
Kekeramatan merupakan satu persoalan yang sering dikaitkan dengan tasawwuf, malah ia menjadi bahan kempen sesetengah kumpulan untuk menarik minat orang ramai menyertai kumpulan mereka. Bukan setakat itu sahaja, malah ia turut dijadikan bahan tarikan oleh kumpulan-kumpulan pengamal ilmu kebatinan yang berselindung di sebalik kemasyhuran nama tasawwuf. Kedapatan ramai dari kalangan ahli masyarakat yang terjebak dalam kumpulan pengamal ilmu kebatinan yang menyeleweng adalah disebabkan terpengaruh dengan perkara pelik dan luar biasa yang ditunjukkan. Tidak kurang juga yang mempelajari dan mengamalkan amalan yang menyimpang daripada landasan syariat dengan menyangka bahawa ia adalah sebahagian daripada amalan tasawwuf demi mencapai kekeramatan.

Para ulama tasawwuf telah meletakkan dasar dan menjelaskan pendirian mereka terhadap perkara berkaitan kekeramatan ini. Kekeramatan lahiriah bukanlah menjadi perkara utama dalam tasawwuf sekalipun ia sering dilaporkan terjadi di kalangan ahli sufi dan dicatat dalam karya-karya mereka. Penelitian terhadap huraian ahli tasawwuf mendapati bahawa mereka tidak memberikan tumpuan kepada perkara kekeramatan ini. Mereka sebenarnya merasa bimbang dengan kezahiran perkara-perkara seperti itu kerana ada kalanya ia menjadi istidraj. Mengenai hal ini `Ali al-Khawas menyatakan bahawa orang-orang yang telah mencapai tahap kesempurnaan merasa takut terjadinya kekeramatan pada diri mereka dan dengan terjadinya ia, mereka bertambah gementar dan takut kerana kemungkinan ia menjadi istidraj.

Di samping itu kekeramatan di sisi ahli tasawwuf adalah termasuk dalam perkara-perkara yang dikira sebagai karenah nafsu. Ibn `Arabi telah menyebut tentang perkara ini dengan menyatakan bahawa jelas kekeramatan zahir itu di sisi tokoh-tokoh besar tasawwuf termasuk dalam himpunan karenah-karenah nafsu, kecuali sekiranya ia bertujuan menolong menegakkan agama atau kerana sesuatu maslahat. Ini kerana Allah itulah yang melakukan (menzahirkan) kekeramatan, bukan diri mereka sendiri dan inilah penyaksian batin mereka. Tiada kekhususan atau keistimewaan kecuali terjadinya perkara yang menyalahi adat itu pada diri mereka, tidak pada yang lain daripada mereka.

Menurut ahli tasawwuf, kekeramatan zahir bukanlah menjadi ukuran atau tanda keutamaan, kelebihan dan ketinggian darjat seseorang yang mencapai tahap kewalian. al-Yafi`i telah menjelaskan tentang perkara ini dengan menyatakan bahawa tidak semestinya setiap wali yang terjadi pada dirinya kekeramatan zahir itu lebih utama daripada wali yang tidak terjadi pada dirinya kekeramatan tersebut. Bahkan kadang-kadang mereka yang tidak terjadi pada diri mereka kekeramatan hissi lebih utama daripada mereka yang terjadi pada diri mereka kekeramatan hissi tersebut. Ini kerana kekeramatan itu kadang-kadang bertujuan menguatkan keyakinan dan menjadi bukti kebenaran dan kelebihan, bukan keutamaan, kerana keutamaan itu adalah berdasarkan kekuatan keyakinan dan kesempurnaan ma`rifah terhadap Allah.

Ketidakzahiran kekeramatan zahir itu pula tidak dikira sebagai mencacatkan kewalian seseorang. al-Qushayri menjelaskan bahawa sekiranya tidak terjadi pada diri wali itu kekeramatan di dunia ini, maka ketiadaan kekeramatan tersebut tidak mencacatkan keadaannya sebagai seorang wali.

Malahan, kadang-kadang wali yang tidak terjadi kekeramatan zahir, lebih utama dan lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang terjadi kekeramatan zahir. Ini kerana bukan semua wali yang mendapat kekeramatan hissi bererti telah mencapai tahap kesempurnaan istiqamah (tetap dan teguh iman dan amal), malah kadang-kadang dikurniakan kekeramatan itu kepada orang yang belum sempurna istiqamah. Mengenai hal ini Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili menyatakan bahawa kadang-kadang dikurniakan kekeramatan zahir itu kepada orang yang belum sempurna istiqamah dan kadang-kadang dikurniakan juga kepada orang yang mendapat istidraj (perdayaan).

Kekeramatan yang menjadi tumpuan dan nilaian ahli tasawwuf ialah kekeramatan maknawi (karamah haqiqiyyah / karamah ma`nawiyyah). Mengenai hal ini Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili menjelaskan bahawa apa yang menjadi perhatian dan penilaian ialah kekeramatan yang sebenar iaitu tercapainya istiqamah yang mencapai tahap kesempurnaan. Ia merujuk kepada dua perkara iaitu iman yang betul terhadap Allah dan mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. zahir dan batin. Imam al-Qushayri pula mengira kekeramatan maknawi tersebut sebagai kekeramatan yang paling besar yang dikurniakan kepada para wali. Mengenai hal ini beliau menyatakan bahawa antara kekeramatan yang paling agung bagi para wali ialah sentiasa mendapat taufiq bagi melakukan ketaatan dan terpelihara daripada maksiat serta perkara yang menyalahi syariat. Kekeramatan maknawi ini menurut Shaykh Muhy al-Din ibn `Arabi, hanya dikenali oleh golongan khusus daripada kalangan hamba Allah, sedangkan orang awam tidak mengenalinya.

Syekh al-Akbar Muhyiddin Ibn ‘Arabi qs,

Penutup
Dari penjelasan yang telah dibuat dapat disimpulkan bahawa tasawwuf merupakan maqam Ihsan yang menjadi sebahagian daripada rukun agama. Tasawwuf mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan aqidah di mana aqidah itu adalah asasnya dan tasawwuf itu berfungsi memperkukuh dan memurnikannya. Demikian juga tasawwuf itu mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan syariat di mana syariat itu adalah laluan untuk mencapai tasawwuf dan tasawwuf itu pula berfungsi memantapkan lagi perlaksanaan terhadap syariat. Syariat tidak boleh dipisahkan daripada tasawwuf dan tidak ada pertentangan di antara kedua-duanya. Tasawwuf bukanlah suatu keanehan dan kepelikan tetapi ia adalah maqam `ubudiyyah.

Rujukan
al-Naysaburi, Muslim ibn al-Hajjaj al-Qushayri. 1954 M/ 1374 H. Sahih Muslim. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi.

al-Tirmidhi, Muhammad ibn `Isa. t.th. Al-Jami` al-Sahih Sunan al-Tirmidhi. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi.

Ibn Hanbal, Ahmad al-Shaybani. t.th. Musnad al-Imam Ahmad ibn Hanbal. Jil.1,2,3, & 4. Misr: Muassasah Qurtubah.

al-Madani, Mustafa. 1316. Al-Nusrah al-Nabawiyyah. Misr: al-Matba`ah al-Amiriyyah.

al-Sulami, Abu `Abd al-Rahman. 1372. Tabaqat al-Sufiyyah. Misr: Matba`ah Dar al-Kitab al-`Arabi.

Ibn `Ajibah, Ahmad. 1331 H. al-Futuhat al-Ilahiyyah fi Sharh al-Mabahith al-Asliyyah.t.tp: al-Matba`ah al-Jamaliyyah.

Ibn `Ajibah, Ahmad. 1983 M/1403 H. Iqaz al-Himam fi Sharh al-Hikam. Jil.1 & 2. Bayrut: Dar al-Kitab al-`Arabi.

Ibn `Ajibah, Ahmad. 1355 H. Mi`raj al-Tashawwuf ila Haqa´iq al-Tasawwuf. t.tp: Matba`ah al-I`tidal.

al-Tusi, Abu Nasr al-Sarraj. 1960. Al-Luma` fi al-Tasawwuf. Qahirah: Dar al-Kutub al-Hadithah, Baghdad: Maktabah al-Mathna.

al-Qushayri, `Abd al-Karim ibn Hawazin. 1990. al-Risalah al-Qushayriyyah. Bayrut: Dar al-Jayl.

Mahmud, `Abd al-Halim. t.th. Qadiyyat al-Tasawwuf: al-Munqidh min al-Dalal. Qahirah: Dar al-Ma`rifah.

al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. 1988. al-Anwar al-Qudsiyyah fi Ma`rifat Qawa´id al-Sufiyyah. Jil.1. Bayrut: Maktabah al-Ma`arif.

al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. 1321. Lata´if al-Minan wa al-Akhlaq. Misr: al-Matba`ah al-Maimaniyyah.

al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. 1311. Lawaqih al-Anwar al-Qudsiyyah fi Bayan al-`Uhud al-Muhammadiyyah. Jil.1. Matba`ah al-`Amirah al-`Uthmaniyyah.

al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. t.th. al-Tabaqat al-Kubra. Bayrut: al-Maktabah al-Sha`biyyah.

Badawi, `Abd al-Rahman. 1978. Shathat al-Sufiyyah. Jil.1. Kuwait: Wakalah al-Matbu`ah.

al-Qari, Mula `Ali Nur al-Din Muhammad.1352. Sharh `Ayn al-`Ilm wa Zayn al-Hilm. Jil.1. Bayrut: Dar al-Ma`rifah.

al-Kumushkhanawi, Ahmad. 1328. Jami` al-Usul fi al-Awliya’. Qahirah: t.pt.

Mohd. Sulaiman Hj. Yasin. 1989. Mengenal Ilmu Tasawuf. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Menteri, Jabatan Perdana Menteri.

Surur, Taha `Abd al-Baqi. 1368. Shakhsiyyat Sufiyyah. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.

al-Zubaydi, Muhammad ibn Muhammad al-Husayni. t.th. Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin. Jil.1,4 & 9. Bayrut: Dar al-Fikr.

al-Hujwiri, `Ali ibn `Uthman al-Jallabi. t.th. Kashf al-Mahjub. Qahirah: Matba`ah al-Ahram al-Tijariyyah.

al-Jaza´iri, `Abd al-Qadir. 1344. al-Mawaqif. t.tp: Matba`ah al-Shabab.

al-Iskandari, Taj al-Din Ahmad ibn Ahmad ibn `Ata’ Allah. 1961 M/ 1381 H. Miftah al-Falah wa Misbah al-Arwah. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.

al-Jilani, `Abd al-Qadir. 1968. Al-Fath al-Rabbani wa al-Fayd al-Rahmani. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.

al-Jilani, `Abd al-Qadir. 1330. Futuh al-Ghayb. Misr: Matba`ah Sharikah al-Tamaddun al-Sina`iyyah.

al-Jilani, `Abd al-Qadir. 1956. Al-Ghunyah li Talib Tariq al-Haq. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.

al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad. 1986/1406. Khulasat al-Tasanif fi al-Tasawwuf (pnyt.) Muhammad Amin al-Kurdi. Dlm. Majmu`at Rasa’il al-Imam al-Ghazali. Bayrut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.

al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad. 1989. Minhaj al-`Abidin. Bayrut: Dar al-Jayl.

al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad. 1986 M/ 1406 H. Rawdat al-Talibin wa `Umdat al-Salikin. Dlm. Majmu`at Rasa’il al-Imam al-Ghazali. Bayrut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.

al-Kurdi, Muhammad Amin.t.th. Tanwir al-Qulub. Qahirah: Dar al-Fikr.

al-Shawkani, Muhammad ibn `Ali ibn Muhammad. 1992 M/ 1312 H. Irshad al-Fuhul. Jil.1. Bayrut: Dar al-Fikr.

al-Sahrawardi, Abu Najib `Abd al-Qahir. 1983. `Awarif al-Ma`arif. Bayrut: Dar al-Kitab al-`Arabi.

Ibn Khaldun, `Abd al-Rahman ibn Muhammad. t.th. al-Muqaddimah. Misr: Matba`ah al-Bahiyyah.

Ibn Khaldun, `Abd al-Rahman ibn Muhammad. t.th. Shifa’ al-Sa´il li Tahdhib al-Masa´il. Bayrut: al-Matba`ah al-Kathulikiyyah.

Ibn `Abidin, Muhammad Amin. 1386 H/1966 M. Hashiah Radd al-Mukhtar `ala al-Durr al-Mukhtar Sharh Tanwir al-Absar fi Fiqh Madhhab al-Imam Abi Hanifah al-Nu`man. Jil.3. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.

al-Tirmidhi, Muhammad ibn `Ali al-Hakim. t.th. Khatm al-Awliya’. Bayrut: al-Matba`ah al-Khathulikiyyah.

al-Jurjani, al-Sayyid `Ali ibn Muhammad. 1938. al-Ta`rifat. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.

`Afifi, Abu al-`Ula. 1963. al-Tasawwuf: al-Thawrah al-Ruhiyyah fi al-Islam. Iskandariyyah: Dar al-Fikr.

al-Yafi`i, `Abd Allah. 1961 M/ 1381 H. Nashr al-Mahasin al-Ghaliyah fi Fadl al-Mashayikh al-Sufiyyah. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.

Ibn `Arabi, Muhy al-Din Muhammad ibn `Ali. t.th. al-Futuhat al-Makkiyyah. Jil.2. Bayrut: Dar al-Sadir.

Saqr, Hamid. 1380. Nur al-Tahqiq. Misr: Matba`ah Dar al-Ta’lif.

Haji Khalifah, Mustafa ibn `Abd Allah. 1360. Kashf al-Zunun `an Asami al-Kutub wa al-Funun. Jil.1. t.tp: Matba`ah al-Ma`arif al-Turkiyyah.

Zaruq, Ahmad. 1318. Qawa`id al-Tasawwuf. Qahirah: Matba`ah Misr.

al-Dahlawi, Ahmad ibn `Abd al-Rahim. t.th. Al-Qawl al-Jamil. t.pt.

Sekalung tahniah untuk penulis.

5 comments:

zaidi ali said...

Salam.

Abd Qadir al-Jilani tidak pernah menulis tafsir al-Quran. Dia cuma mengajar secara lisan. Bukan mudah hendak menulis ilmu al-Quran yg Qodim. Anak2 muridnya melakukan kompilasi ajarannya lalu menghasilkan Tafsir al-Jilani 6 jilid. Saya pernah melihatnya di Cairo (dalam tulisan arab klasik) tetapi masih mencari edisi rumi. Kalau sdr ada maklumat mana nak dapat edisi rumi, tolong info saya ye.

alFAz said...

W. Salam saudara, saudara boleh cuba hubungi Tuan Zamany, www.kubranewszamany.blogspot.com untuk bertanyakan info berkenaan kerana tuan zamany salah seorang yang banyak mengetahui penulisan lama terutama dari aliran Syiekh Abd Qadir alJilani.

zaidi ali said...

Terima kasih atas info.

Anonymous said...

salam tuan,teruskan memberi info. maha puji allah, byk mafaat dlm blog ni..leh tak hamba yg kerdil ni copy dan paste masuk dlm leptop hamba..trima kasih

aliffmy said...

Saudara anon, silakan dengan senang hati. Anggaplah ilmu itu haq Allah, hebahkan semoga bermenfaat. Alhamdulillah. Sesiapa yang suka kepada Tasawwuf bermakna hatinya semakin hampir dengan zat Pencipta, insyaAllah akan mendapat bimbingan.

Post a Comment

Sila beri pandangan anda, elakkan dari kata nista atau kata-kata di luar peradaban. Pandangan Tulus dari anda amat dihargai, terima kasih.

Recent Posts

Entri di "King of the East"

 
Copyright 2009 abatasa ii. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan