Monday, March 23, 2015

HUDUD.... dari sudut perundangan


Penulis: MatRodi

Image result for hudud
Mereka yang menentang hudud menggunakan pendapat bahawa ianya 'unconstitutional'- bercanggah dengan Perlembagaan.

Mereka yang menyokong pula tampaknya seolah-olah bersetuju dengan pendapat ini. Hakikatnya perlaksanaan hudud mengikut lunas perundangan negara bukanlah satu perkara yang mustahil.

TENTANGAN PERUNDANGAN

Menurut hujah mereka, hudud tidak boleh dilaksanakan di Kelantan kerana:

a) Negeri tidak mempunyai kuasa menggubal dan menghukum orang Islam di atas kesalahan yang termaktub di dalam Senarai Persekutuan seperti jenayah awam seperti bunuh, rogol dan merompak walaupun ini adalah kesalahan serius di dalam Islam. (Perlembagaan Persekutuan, Jadual 9, Senarai 2, Perenggan 1)

b) Negeri mempunyai had hukuman ke atas sebarang kesalahan yang ditetapkan iaitu maksimum penjara 3 tahun, denda RM5000 dan 6 sebatan. (Mahkamah Syariah (Kanun Jenayah) 1965).

Maknanya adalah mustahil untuk Negeri meminda hukuman kepada memotong tangan dan rejam mati dengan batu.

c) Negeri tidak mempunyai kuasa mengenakan hudud kepada bukan Islam walaupun bukan Islam rela hati mahukan hudud.

Ini bermakna hudud kepada orang Islam akan membawa kepada keadaan di mana satu kesalahan- tetapi dua jenis hukuman kepada dua pesalah yang berbeza agama.

Ia bertentangan dengan konsep 'kesaksamaan undang-undang tanpa mengira bangsa dan agama'. (Artikel 8, Perlembagaan Malaysia).

Terdapat 2 solusi bagaimana untuk mengatasi perkara (a), (b) dan (c).

SOLUSI 1

Perkara 76A dan 80 Perenggan 4 (Perlembagaan Persekutuan) membenarkan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan kuasa kepada Negeri bagi menggubal undang-undang berkenaan dengan jenayah yang terdapat di dalam Senarai Persekutuan.

Ini bermaksud kerajaan Kelantan boleh menggubal serta menghukum bagi jenayah seperti bunuh, rogol dan merompak.

Untuk menggubal undang undang bagi membenarkan Kelantan melaksanakan hudud dengan menggunapakai Perkara 76A dan 80 (4) supaya perkara (a) dan (b) diatasi, hanya majoriti mudah diperlukan.

Bagaimanapun untuk memastikan perkara (c) tidak berlaku, tidak dapat tidak, hudud mesti dilaksanakan kepada semua rakyat termasuklah bukan Islam.

Ini hanya boleh berlaku sekiranya Perlembagaan Malaysia dipinda dan ditetapkan bahawa Malaysia adalah negara Islam yang mana undang-undang jenayah hanyalah satu dan tertakluk kepada semua.

Ini memerlukan majoriti 2/3 Dewan, persetujuan Majlis Raja-Raja dan TYDP Sabah Sarawak.

Terdapat 137 MP Muslim di Dewan Rakyat- kurang 11 MP untuk majoriti 2/3 dewan. Memandangkan mustahil 11 MP bukan Islam menyokong Solusi 1, maka lebih realistik jika dilakukan solusi 2.

SOLUSI 2

Solusi ini menuntut Penal Code atau Undang-undang jenayah Persekutuan yang sedia ada digubal hukumannya mengikut hukuman hudud.

Contohnya jika hukuman merompak yang sebelum ini disabitkan penjara ditukar kepada potong tangan.

Solusi ini tidak akan membawa kepada masalah perlembagaan kerana pindaan terhadap Penal Code tertakluk kepada orang Islam dan bukan Islam.

Ia akan mengelakkan daripada perkara (c) berlaku. Ia juga tidak memerlukan majoriti 2/3 dewan sebaliknya hanya majoriti mudah.

Situasi ini samalah seperti meminda undang-undang Perbankan Islam dan Takaful.

Bagaimana Hudud Boleh Dilaksanakan Mengikut Lunas Perundangan Malaysia?

Memandangkan BN dan PR main selamat dan tidak mungkin berani membentangkan Solusi 1 atau 2 atas kapsiti parti, mana-mana ahli parlimen yang tidak memegang jawatan menteri bolehlah membawa rang undang-undang perlaksanaan hudud sebagai 'Private Members Bill'.

Dalam hal ini, MP PAS mungkin boleh secara senyap bekerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Dalam negeri meminta mereka menyediakan khidmat pakar dalam menggubal rang undang-undang (atau pindaan) hudud.

Tuan Speaker Dewan dengan budi bicara beliau bolehlah meletakkan Private Bill ini sebagai 'keutamaan' kerana dari segi praktisnya 'Private Bill' akan ditenggelamkan dengan hal-hal urusan kerajaan.

Selepas rang undang undang ini dibentangkan buat kali pertama, Tuan Speaker boleh mengarahkan rang undang-undang tersebut dirujuk kepada Menteri yang berkenaan.

Dalam solusi 1, kemungkinan Menteri Hal Agama dan Menteri Undang-undang iaitu YB Jamil Khir dan YB Nancy Shukri.

Dalam solusi 2, mungkin Menteri KDN YB Zahid Hamidi.

Selepas kementerian berkenaan menggubal secara teliti rang undang-undang tersebut, ia akan dibaca kali kedua di Dewan Rakyat.

Ketika ini perbahasan dan pengundian dibuat di kalangan ahli parlimen. Harus ditekankan di sini rang undang-undang hudud hanya memerlukan majoriti mudah bagi diluluskan dewan.

Maknanya ia hanya memerlukan 111 undi daripada 137 MP Muslim di Dewan Rakyat.

Mengikut kelaziman, sebarang undang-undang yang telah diluluskan Dewan Rakyat tidak mempunyai kesukaran untuk mendapat kelulusan Jawatankuasa dan Dewan Negara.

Selepas itu, rang undang-undang hudud boleh dipersembahkan kepada YDP Agong bagi mendapat persetujuan dan dijadikan undang-undang.

Jika ini berjaya, ia mungkin menjadi sejarah pertama di dalam Parlimen Malaysia di mana 'Private Member Bill' berjaya dibentang, dibahas, diundi dan digazetkan.

KESIMPULAN

Memandangkan setiap undang-undang mempunyai pelbagai tafsiran dan rujukan kes, kemungkinan ada beberapa pandangan yang berlainan.

Apa yang penting, untuk dengan mudah mengatakan hudud adalah 'unconstitutional' adalah satu pendapat yang separuh betul dan tidak demokratik.

Dan usaha untuk mengenakan hudud yang melibatkan kesalahan jenayah Penal Code khusus untuk orang Islam adalah tidak praktikal.

Harus diingat tulisan ini menerangkan soal perundangan dan ingin berhujah dengan mereka yang mengatakan hudud tidak boleh dilaksanakan atas faktor perundangan (atau sebab main politik mungkin?).

Tulisan ini juga cuba memberikan solusi dan bukan sekadar beretorik.

Soal hudud yang bagaimana yang ingin dilaksanakan serta adakah hudud wajar dilaksanakan adalah soal yang berbeza dan tidak dijawab di dalam artikel ini.



MatRodi: Kupasan hudud serta isu politik boleh dibaca di buku saya: SARING SEBELUM MERENG yang boleh dibeli di: http://dubookpress.com/produk/saring-sebelum-mereng/


1 comments:

Anakbukitgantang said...

Saya tak halang hudud..cuma cadangkan alternatif potong tangan bagi pencuri elok diganti dgn sebatan. Di Acheh hukum utk pencuri , minum arak dan berkhalwat ialah sebatan di khalayak ramai.

Post a Comment

Sila beri pandangan anda, elakkan dari kata nista atau kata-kata di luar peradaban. Pandangan Tulus dari anda amat dihargai, terima kasih.

Recent Posts

Entri di "King of the East"

 
Copyright 2009 abatasa ii. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan