Wednesday, August 7, 2013

Engkau Sangka Musuh Merosakkan Engkau



Engkau selalu menyangka orang lain
akan merosakkan engkau
Engkau selalu sahaja prejudis
dengan musuh-musuh engkau
Engkau merasakan musuh-musuh engkau
akan membinasakan engkau

Rupa-rupanya musuh-musuh engkau
sekali-sekala sahaja merosakkan engkau
Orang lain, adakalanya engkau terselamat
daripada kejahatannya
Tapi engkau sama ada disedari atau tidak
setiap hari dirosakkan oleh perkara
yang sangat rapat dengan diri engkau

Setiap hari engkau dirosakkan
oleh ilmu dan kepandaian engkau
Setiap masa engkau dirosakkan
oleh nama, glamour engkau
Sering sahaja engkau dirosakkan
oleh harta dan kekayaan engkau

Jawatan dan kekuasaan engkau itulah
yang selalu merosakkan engkau
Amanah yang diberikan kepada engkau
itulah yang selalu merosakkan engkau
Cara engkau berfikir itulah yang merosakkan engkau
Keyakinan engkau itulah
yang banyak merosakkan engkau

Ideologi yang ada di kepala engkau itulah
yang merosakkan engkau
Sedangkan kalau musuh engkau merosakkan engkau,
mudah engkau sedar
Orang lain merosakkan engkau,
cepat engkau dapat mengesannya

Tapi kalau ilmu, harta, pangkat, kekuasaan,
nama dan glamor yang merosakkan engkau
Payah engkau hendak insaf dan sedar
Engkau tidak terasa dirosakkan olehnya
Engkau terasa itu semuanya adalah kejayaan engkau
Itu semuanya adalah kemajuan yang engkau tempa
dan kejayaan yang engkau buat
di dalam kehidupan engkau

Engkau rasa telah berjaya di dalam kehidupan engkau
Kerana itulah payah engkau hendak sedar
Engkau rasa itu adalah satu kejayaan bukan kerosakan
Engkau tertipu di dalam kehidupan engkau

Oleh:
PBT
Selepas Asar
27 Muharam 1421H

 
Copyright 2009 abatasa ii. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan